Khamis, 30 Januari 2014

Isu PRK DUN Kajang

BIRO PENERANGAN
PARTI KEADILAN RAKYAT
KENYATAAN MEDIA
ISU PRK DUN KAJANG: KEPUTUSAN KEPIMPINAN PR MENEPATI PRINSIP SYARIAH  DAN AMALAN DEMOKRASI


Keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan Pakatan Rakyat pada 28 Januari 2014 berkaitan isu DUN Kajang, adalah suatu yang tepat dan betul berasaskan prinsip-prinsip di dalam disiplin al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (Kaedah-Kaedah Fiqh) yang relevan dengan realiti terkini perkembangan politik Malaysia.
Sukacita dijelaskan, bahawa ijtihad politik yang dilakukanoleh KEADILAN ini, sememangnya mempunyai justifikasi yang kukuh berasaskan prinsip dar’u al-mafasid muqaddamun ‘alajalbil al masalih  (menghindarkan berlakunya kerosakan adalah diutamakan sebelum berlakunya sesuatu kebaikan). Dengan lain perkataan, demi mempastikan sesuatu kebaikan yang dirancang itu benar-benar berlaku, maka semua perkara yang mungkin menjadi factor penghalangnya hendaklah dihindarkan.

Sehubungan ini, kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkaitan hal ini amat menarik dan dialu-alukan. Beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada dan tidak terjebak dengan adu domba pihak musuh. Sebagai seorang negarawan yang begitu masak dengan selok belok politik negara, beliau melihat bahawa keputusan yang telah dibuat dalam isu ini adalah suatu yang positif dan tentulah mempunyai ‘illah (sebab) yang tersendiri.

Justeru, dalam menentukan pendirian kita mengenai sesuatu perkembangan politik semasa, hendaklah bersandarkan kepada maklumat yang cukup berasaskan sumber-sumber yang autentik. Maka itu, tindakan-tindakan yang bersifat taksub, emosional dan tergopoh-gapah hendaklah dielakkan. Seorang pemimpin politik yang sekian lama dikenali sebagai pejuang rakyat dan telah pun begitu banyak berkorban demi kebajikan rakyat sejak dari usia mudanya, sudah pasti membuat keputusan politik yang akan menguntungkan rakyat. 

Sesungguhnya, politik itu adalah suatu dinamik. Memang ada ketikanya, keputusan dan tindakan yang mengejut terpaksa dilakukan di luar dari jangkaan. Keberanian seseorang pemimpin untuk membuat keputusan demi mencapai perubahan yang lebih baik adalah suatu yang wajar. Hakikatnya, perkembangan ini adalah suatu yang tabi’e sebagai penerusan perjuangan dan kebangkitan rakyat. Sememangnya kita sedar, bahawa cabaran yang sedang dilalui ini tidaklah mudah. Sebahagian dari kita mungkin Berjaya dikelirukan dan bakal tercicir ditepian perjalanan. Namun percayalah, gelombang kebangkitan rakyat bersama kebenaran dan keadilan ini akhirnya akan tetap mencapai kemenangan.   Kebatilan danke palsuanakan tetap pudar dan tenggelam di arus perubahan. 

“Dan katakanlah, “Telah dating kebenaran dan hilang lenyaplah perkara yang salah. Sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Al Israk: 81).


Dr Muhammad NurManuty
KetuaPeneranganKeadilan

Jumaat, 10 Januari 2014

Fatwa Bughah

FATWA BUGHAH DAN IMPLIKASINYA DALAM MASYARAKAT


Oleh: Dr Muhammad Nur Manuty
10 Januari 2014


Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria, sekali lagi mengejutkan rakyat Malaysia apabila beliau mengeluarkan satu fatwa kontroversi pada awal Januari, 2014 yang lalu. Fatwa tersebut menyatakan bahawa para peserta demonstrasi pada malam 31 Disember yang ikut serta bersama dengan orang ramai yang telah berhimpun menyambut kedatangan Tahun Baru 2014  sebagai “bughah” (pemberontak). Justeru itu, beliau berkata bahawa “darah mereka adalah halal.” Sesungguhnya fatwa tersebut telah mengundang pelbagai reaksi hangat. Banyak pihak merasa dukacita, resah dan gelisah dengan fatwa Tan Sri Harusani. Implikasinya sangat serius. Sesungguhnya fatwa Mufti Perak itu terlalu keras bunyinya, sehingga para demonstran boleh dikategorikan sebagai “pengganas.” Kita bersetuju dengan pendapat pelbagai pihak di negara ini bahawa jika tidak diambil langkah tegas oleh pihak berkuasa, fatwa tersebut boleh mengundang pelbagai kesan negatif yang berkemungkinan menjejaskan ketenteraman orang-orang awam. Apabila seorang mufti berbicara pada khalayak ramai; apa lagi dengan kedudukannya sebagai seorang mufti terkanan yang telah berkhidmat lebih dari 30 tahun, maka ia dilihat oleh orang awam sebagai satu fatwa rasmi yang boleh dipegang. 

Konsep Bughah Dari Perspektif Fuqaha’

Menurut Imam Taqiyuddin Abi Bakr Muhammad al-Husainiyy, pengarang Kitab Kifayatul  Akhyar, perkataan bughah dalam istilah syara’ adalah merujuk kepada segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka kepada ulil amri (pemerintah), iaitu pemerintah/kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syari’at Islam (Kifayatul Akhyar, Jilid 2, ms. 122).  Sementara itu pula Tuan Haji Said Haji Ibrahim berpendapat bahawa “ .. Dalam ilmu ketatanegaraan Islam, bughah ialah perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri. Ini dinamakan “jarimah siasiyyah” (Kanun Jenayah Islam, 1996, Kuala Lumpur, 1996, ms. 151).

Disamping itu Jenayah dalam politik tidak boleh berlaku kecuali

  1. jika tindakan golongan pemberontak mempunyai tujuan yang jelas untuk menggulingkan Ketua Negara atau tidak mahu lagi mematuhi arahan pemerintaha;
  2. didapati sebab-sebab mereka memberontak dan menetang dasar pemerintah, sekalipun sebab-sebab yang mereka kemukakan itu merupakan sebab yang paling lemah;
  3. elah berlaku penderhakaan dan pemberontakan yang merupakan perang saudara dalam negara, selepas mereka itu mengadakan persiapan senjata dan pertahanan.

 (Kanun Jenayah Islam, ms. 153)

Dalam sesebuah negara yang berpaksi kepada hukum-hukum Islam, “penderhaka” yang wajib diperangi adalah tertakluk dengan syarat-syarat berikut:
  1. Mereka yang telah mempunyai kekuatan dan yang telah berterus terang secara terbuka menentang pemerintah/kerajaan yang adil;
  2. Mereka yang telah keluar dari tadbiran ulil amri, dan telah membentuk pemerintah/kerajaan yang baru;
  3. Terdapat di kalangan mereka kekeliruan faham di mana mereka menganggap bahawa mereka boleh keluar dari kawalan dan tadbiran imam (pemerintah);
  4. setelah diajak berunding dengan bijaksana sebagaimana yang telah dilakukan oleh Sayyidina ‘Ali Bin Abu Talib, Khalifah Islam Keempat terhadap pemberontak-pemberontak dalam Perang Jamal di Siffin dan kumpulan Khawarij:
  5. eMereka telah mengadakan keganasan dalam negara seperti membakar, membunuh dan sebagainya.

(Kanun Jenayah Islam, ms. 154).

Persoalannya sekarang, adakah fatwa Mufti Perak itu mempunyai sandaran shara’ yang kukuh serta mengikut manhaj pengistinbatan hukum yang sah? Dalam menjawap soalan ini, ternyata Tan Sri Harusani telah menyalahgunakan penggunaan ayat 9, Surah al-Hujurat yang dikemukannya sebagai hujah qat’iyy. Firman Allah (SWT):

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangalilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali, kepada perintah Allah: jika golongan itu telah (kembali kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya denga adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil
(Surah al-Hujurat: 9).
Dalam hemat kita, kumpulan demonstran itu tidak boleh dikategorikan sebagai pemberontak kerana hujah-hujah berikut:
  1. Mereka tidak terlibat dalam “peperangan” (iqtital) yang membawa kepada pembunuhan sesama mukmin seperti yang disebut di dalam ayat 9, Surah al-Hujurat;  
  2. Penganjur demonstrasi tidak membuat apa apa perisytiharan rasmi untuk tidak mentaati Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong;
  3. Para demonstran keluar secara aman sekadar mahu “unjuk rasa” kerana marah dan kecewa dengan kegagalam pemerintah gagal mengawal harga barang naik secara mendadak mutakhir ini;
  4. Para demonstran tidak memiliki apa apa senjata;
  5. Mufti Perak sendiri tidak turun berunding untuk memberi nasihat kepeda pemimpin-pemimpin demonstrasi supaya mereka meletakkan senjata (sekiranya benar ada senjata) atau memberhentikan demonstrasi.

Mengenai persiapan senjata, pandangan Profesor Dr Wahbah al-Zuhaili, ilmuan fiqh ternama,  menyatakan bahawa kesahihan bagi seseorang atau kumpulan dapat diistilahkan sebagai “bughah”  hanya dengan kewujudan senjata yang banyak sehingga pihak pemerintah terpaksa membekalkan  senjata dengan banyak untuk tujuan mempetahankan diri. Justeru, banyak wang dan persiapan ketenteraan yang diperlukan bagi menghadapi pemberontak.(Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, Damsyiq: 2007, Jilid 13, ms, 571)

Dalam hubungan ini, Mufti Perak telah menampakkan kegopohannya dalam pembuatan fatwa. Beliau sewajarnya mengemukakan beberapa dalil syara’ dengan panduan nas-nas qat’iy di dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan lain-lain sumber ilmiah yang muktabar. Tan Sri Harusani sewajarnya berbincang dahulu dengan pelbagai pihak terutama dengan Ahli Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli Ahli jawatankuasa Fatwa Syar’iyyah Negeri Perak dan lain-lain pegawai di Jabatan Mufti Perak. Walau bagaimanapun, fatwa Mufti Perak jelas tidak merujuk kepada para ulama/ilmuan lain. Islam menganjurkan amalan syura demi mendapatkan muwafakat terbaik dan dapat keberkatan dari Allah SWT. Al-Qur’an mencatatkan: “sedang urusan mereka diputuskan dengan mesyuarah” (Surah Assyura: 38).

Oleh kerana hujah-hujah yang dikemukakan tidak kuat, maka jalan keluar yang terbaik bukan untuk mempertahankan fatwa tersebut; seperti yang disebut oleh Tan Sri Harusani dalam akhbar Sinar pada awal Januari lalu. Mufti Perak sewajarnya mempraktiskan perintah Junjungan Muhammad (SAAS) seperti yang disebut dalam sebuah hadis sahih: “Katakan perkara baik atau diam.”

Selain itu, kegopohan fatwa Mufti Perak jelas menunjukkan beliau hanya bersandar kepada maklumat yang belum dapat dipastikan kesahihannya. Maklumat yang diterima dari media perdana di negara ini perlu disaring sebelum dapat diterima pakai. Allah SWT berfirman:  

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu.”
(Surah al-Hujurat: 6).
Sejak fatwa tersebut disiarkan di dalam media, ia telah menimbulkan reaksi pasif masyarakat terhadap institusi mufti. Statusnya sebagai pembimbing umat mulai dipersoalkan keabsahannya. Bagi masyarakat Islam yang tidak memahami ajaran Islam, fatwa tersebut menimbulkan ketakutan terhadap agama Islam dan bukannya keinginan untuk mendampinginya. Islam dari segi jauharnya adalah agama yang sangat menekankan wujudnya kedamaian, keamanan dan kesejehteraan sesama insan. Fatwa yang menyebut “darah mereka adalah halal” membawa konotasi bahawa nyawa manusia begitu murah harganya walhal memelihara nyawa adalah sebahagian dari tujuan utama dalam maqasid syari’ah (objektif syari’ah). Mengenai kehormatan diri bagi sesorang manusia tidak dibunuh dengan sewenang-wenang, Allah SWT berfirman:
“..barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.”
 (Surah al-Ma’idah: 52).
Dalam konteks zaman yang serba mencabar, Tan Sri Harusani selaku seorang mufti dan lain lain penjawat jawatan mufti di negara ini wajar memertingkatkan kewibaan (al-ahliyyah) mereka sebagai seorang mufti yang benar-benar berotoriti dan berfungsi dengan berkesan dalam pembuatan hukum.  Dalam hubungan ini, barangkali ada baiknya untuk para mufti merujuk sebuah karya penting al-Qardawi yang berjudul  al-Fatawa al-Shazzah (Fatwa-fatwa Janggal) (Kahirah: Dar as-Shuruq, 2010). Dalam buku ini, antara lain, beliau menyebut bahawa seorang mufti jangan terjebak dalam pembuatan pembuatan fatwa-fatwa yang janggal (shazzl). Yang dimaksudkan dengan fatwa-fatwa janggal ialah fatwa fatwa-fatwa yang terkeluar daripada manhaj yang digunakan pakai secara komprehensif  oleh para fuqaha’ dalam pembuatan hukum sejak beberapa abad lalu.

Dalam hubungan ini, satu lagi perkara yang wajar diambil oleh para mufti menurut al-Qardawi iaitu sikap tidak tergesa-tergesa mengeluarkan fatwa dan bergegas pula memberikan jawapan kepada setiap soalan. Para fuqaha’ pada zaman silam jarang sekali menghasilkan fatwa-fatwa yang janggal. al-Qardawi menegur sikap pasif sebahagian mufti kerana “mengalamun diri kononya menguasai ilmu dalam semua perkara, tetapi kurang meraikan kewara’an, suka menjawab soalan soalan yang paling kusut, walhal Sayyidina ‘Umar al-Khattab menunjukkan satu sikap terpuji sebagai seorang pemimpin dan sekaligus seorang yang punya otoriti dalam agama Islam yang menghayati amalan syura dengan lain-lain sahabat yang diistilah sebagai ahli Badar bagi menyelesaikan soalan-soalan syara’ yang sukar dan sulit, maka beliau akan menghimpun semua kepada Sayyidina ahli Badar.” (al-Qardawi, al-Fatawa al-shazzah, Kahirah: 2010, ms. 8). (Yang dimaksudkan dengan Ahli Badar adalah para peneraju awal Islam yang terdiri dari para sahabat yang berjuang mengeakkan Islam dan sekaligus mereka juga adalah ilmuan-ilmuan yang berotriti dalam ha ehwal Islam).Demikianlah ketelitiannya seorang sahabat utama Junjugan Muhammad (s.a.w.) dalam memutuskan kedudukan hukum.

Fatwa juga boleh menjadi janggal (shazz) apabila sesuatu fatwa dibuat oleh orang yang bukan ahlinya. Al-Qardawi menyatakan bahawa seorang mufti itu pada hakikatnya bertanggungjawab sebagai seorang nabi (yaqumu maqam al-nabiyy) dalam usaha menerangkan kepada orang ramai  hukum hakam dan pengajaran Islam. Justeru, seorang mufti tidak dibenarkan untuk mengeluarkan satu fatwa yang berkaitan dengan makhluk ciptaan-Nya, menguraikan halal dan haram, perkara yang disyara’kan atau tidak disyara’kan, kebaikan dan keburukan kecuali setelah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjadi seorang mufti. Oleh yang demikian,  bagi seorang mufti yang punya credential atau thiqqah,  harus mempunyai penguasaan ilmunya dalam disiplin al-Qur’an dan al-Sunnah, penguasaan bahasa ‘Arab, ilmu usul al-fiqh dan maqasid shari’ah,  qias dan ‘ilal (sebab), ijma’ dan ilmu khtilaf adalah penting untuk menjamin pengistanbatan hukum yang tidak dapat digugat oleh sesiapa Selain penguasaan ilmu-ilmu Islam warisan (al-turath) dan kontemporari (al-mu’asar), bagi seorang mufti, ia hendaklah mempunyai rasa takut terhadap Allah (swt), iltizam dengan hukum-hukum-Nya serta berakhlak mulia. (al-Qardawi: ms.26). Imam Shafi’yy (r.h) dalam satu pandangan yang dipetik oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Kitab al-Faqih wa al-Mutafaqqih berkata: “Seseorang itu tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali mereka menguasai Kitab Allah dengan penguasaan ilmu nasikh dan mansukh, muhkam dan mutashabih, ta’wil dan tanzil, makkiy dan madaniyy, penguasaan hadis dalam segala kategori, pengusaan bahasa Arab, sya’ir sya’ir Arab, ilmu ikhtilaf dan tidak kurang pentingnya, mufti mesti memiliki “al-malakah” (bakat semula jadi). (al-Qardawi, ms.128). 

Selanjutnya, dalam era perkembangan pesat ilmu pengetahuan, maka tidak wajar bagi  seorang mufti mengandaikan dirinya tahu segala jenis ilmu. Walhal al-Qur’an membicarakan tentang tabii manusia yang tidak diberi keupayaan oleh Allah SWT mengetahui semua jenis ilmu. Allah SWT berfirman:

“..dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”
(Surah al-Isra’: 85).
Lihat sahaja amalan para sahabat Rasulallah (s.a.w) dalam pembuatan sesuatu hukum. Lazimnya mereka berhenti sejenak untuk memberi jawapan. Antara amalan terpuji mereka ialah kesukaan bertanya pendapat lain-lain sahabat. Al-Qardawi meminta para mufti banyak menelaah pelbagai rujukan sebelum membuat fatwa halal atau haram. Meskipun seorang mufti itu sudah membuat rujukan muktabar, tetapi dalam hal khusus yang menyangkut dengan keperluan berlakuknya keringanan (rukhsah) untuk seseorang ataupun kelompok, maka pandangan-pandangan alternatif boleh dijadikan hujah. (al-Qardawi, al-Fatawa as-Shazzah, ms. 133).

Seperti yang disebut pada awal makalah ini, fatwa Tan Sri Harusani bercitra keras (shadid). Hari ini, selain al-Qardawi, semakin ramai ulama dan cendekiawan Muslim seperti Syaikh Taha Jabir al-‘ilwaniyy, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr.Muhammad al-Zuhaili, Syaikh Rashid Ghannoushi, Dr.Hassan al-Turabi, Syaikh Ahmad al-Raysuni, Dr Jamal ‘Atiyyah dan lain-lain begitu memprihatinkan kepentingan ilmu fiqh dan fatwa yang dikeluarkan dapat dibina diatas prinsip  “al-taysir” (membuka ruang yang lebih mudah), bukan bersifat “ta’sir” (menimbulkan lebih banyak kesukaran). Al-Qardawi menggesa para fuqaha pada zaman ini mempraktiskan prinsip “al-taysir fil fatwa wa tabsyir fi al-da’wah”  (mengintai ruang-ruang yang mempermudahkan sesuatu dapat berlaku dalam pembuatan fatwa serta menceriakan sebaran Islam). Dalam pembuatan fatwa, al-Qardawi menyarankan para fuqaha’ perlu menggunakan prinsip al-istislah dan al-istihsan jika tidak terdapat nas-nas qat’iyy. (al-Qardawi, al-Wasatiyyah al-Islam, Kahirah: 2008, ms. 45). Inilah manhaj Nabawi dan para sahabah. Junjungan Muhammad (s.a.w) bersabda menurut riwayat Sayyidina Anas (r.a):

“Kamu hendaklah memudahkan segala sesuatu dan jangan menyulitkan, ceriakan dan jangan menakutkan).
Juga, sebuah lagi lagi hadis sahih dari Junjungan Muhammad (s.a.w) yang berbunyi:

“Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama hanif yang penuh dengan kesucian.”
Firman Allah SWT:

“Allah menghendakki kemudahan bagimu, dan tidak kesukaran bagimu.”
(Surah al-Baqarah: 185).

Persoalan penting yang perlu kita ajukan, mengapa prinsip tersebut diperlukan dalam masyarakat dunia pada hari ini? Dalam hubungan ini, al-Qardawi memberikan beberapa rasional tentang keperluannya.  Antaranya, syari’at Islam dibina diatas prinsip keringanan, menolak kesukaran, berciri rahmah dan bertolak ansur (samahah). Sehubungan itu, para mufti dikehendakki memahami tabi’i peredaran zaman dan suasana persekitaran yang sentiasa berubah. Prinsip kemantapan (al-thawabit) dan keanjalan (al-mutaghayyirat) sangat penting difahami secara berimbangan. Hakikatnya manusia moden sedang berhadapan dengan pelbagai pelbagi masalah baru yang lebih rencam dan rumit dari zaman silam. Al-Qardawi memberikan contoh tentang kedudukan bagi seorang murtad yang wajar dikenakan hukuman ringan dengan hanya bertaubat. Demikianlah juga dengan perbuatan minum arak. Hukuman ta’zir sudah memadai. (al-Qardawi, Khitabuna fi al-‘Asr al-‘Aulamah, ms. 137)

Institusi mufti di negara ini berperanan penting untuk membentuk fikrah Islam dalam kalangan rakyat dengan menggunakan pendekatan prinsip wasatiyyah. Para mufti hendaklah mempamerkan hokum-hukum Islam yang realistik dengan mengaplikasikan fiqh al-waqi’ (fiqh realiti) semaksimum yang mungkin. Sebagai contoh, peranan Majlis Islam Eropah menampakkan satu kemajuan besar di bidang fatwa. Para fuqaha’ di benua Eropah telah berjaya megeluarkan fatwa-fatwa penting yang bersifat “solving problem” dengan menggunakan pendekatan maqasid syari’ah (objektif syari’ah) dan ‘illah (sebab) dalam sesuatu hukum. Jadi, pembuatan fatwa berjalan secara tabii, bukan menunggu berlakunya sesuatu masalah. Adalah jelas bahawa faktur utama yang menyebabkan kejayaan pembuatan fatwa di Eropah itu ialah kerana para fuqaha’ disana dapat menggabungkan ilmu warisan Islam (at-turath) dengan ilmu keislaman semasa (al-mu’asar).Selain itu, mereka juga proaktif dengan wacana-wacana ilmu. Jadi, fatwa tidak menjadi jumud dan boleh dipersoalkan sehingga dijadikan mainan orang sebagai “fatwa songsang”.

Di Malaysia, kekerapan wacana ilmiah bagi mendapatkan pendapat pendapat baru (fikrat ‘ul mustajiddat) sangat kurang walhal para mufti amat perlu menghambat maklumat-maklumat terbaru. Kita melihat para mufti acap kali memberi respon secara sepontan dalam sesuatu permasalahan  agama terutama yang berkaitan dengan persoalan aqidah dah dan hukum. Selain pendekatan legalistik, para mufti sewajarnya serius mengambil pedekatan mendidik daripada menghukum. Pendekatan legalistik tanpa diikut serta dengan proses pembinaan ilmu di dalam masyarakat, akan hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan akhirnya perpecahan masyarakat semakin berlaku dengan meluas. Inilah kesan buruk yang sedang kita rasai sekarang. Kecenderungan mengambil pendekatan keras (al-tanatu’) akan hanya mengundang kebinasaan. Inilah pesan Junjungan Muhammad (saas) keatas umatnya. Sabda Baginda:

“Binasalah orang orang yang bersangatan dalam membuat sesuatu perkara.” (hadis sahih).
Maknanya ketaksuban kepada satu pemikiran tanpa menggunakan hujah-hujjah yang kuat, membwa padah yang buruk. Beberapa pendekatan fiqh seperti yang disarankan oleh al-Qardawi wajar digunapakai dalam pembuatan hukum pada masa kini dan mendatang. Sesungguhnya kegunaan pelbagai pendekatan fiqh iaitu fiqh al-awlawiyyat (fiqh menurut senarai keutamaan), fiqh al-muwazanah (fiqh perimbangan), fiqh al-maqasid al-syari’ah (fiqh maqasid), fiqh al-taghyiir (fiqh perubahan), fiqh al-waqi’ (fiqh realiti) dan fiqhat-ta’addudiyyah (Fiqh Kepelbagian) dapat memperkuat hujahan fatwa baru dalam isu-isu yang kompleks, antaranya, dalam subjek ketatanegaraan.

Rumusannya, fatwa Tan Sri Harusani tidak dapat dikategorikan sebagai multzam (boleh dipakai).Yang jelas, fatwa tersebut lebih bersifat peribadi. Sewajarnya, ia perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa kebangsaan kerana isu yang dibahaskan adalah merupakan persoalan-persolan penting iaitu pemberontak dan penghalalan darah mereka. Justeru, ia perlu dirungkai secara rasional dengan merai’kan segala prinsip dan menggunakan manhaj syara’ yang komprehensif. Proses pembuatan hukum akan hanya berkesan jika ia dilakukan secara jama’i (berjamaah) bukan lagi fardi (individu).

Walluh’alam wa Rabbuna ‘l Musta’an.

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan Keadilan
Tel: 0193328302
Email: dr_manuty@hotmail.com
Bandar Baru Bangi


Jumaat, 3 Januari 2014

Isu JAIS & Persatuan Bible

KENYATAAN MEDIA
Ketua Penerangan KEADILAN
Isu Perampasan Bible Oleh JAIS
(3 Januari 2014)



KEADILAN yakin pendekatan berhikmah dalam menangani isu-isu keagamaan adalah cara yang terbaik bagi mengelakkan ketegangan antara penganut-penganut agama Islam dan Kristian di negara ini berterusan. Sesungguhnya ketegangan hidup beragama adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip beragama, Perlembagaan Malaysia dan amalan demokrasi.

Justeru, antara perjuangan utama KEADILAN adalah untuk menjamin kedamaian hidup beragama berasaskan nilai-nilai keadilan sejagat dan juga perlembagaan negara. Bagi mencapai tujuan di atas, KEADILAN sentiasa menganjurkan supaya disuburkan budaya interaktif untuk mewujudkan iklim yang kondusif  ke arah kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

KEADILAN berharap dialog dan perunding yang bakal dianjurkan nanti akan dapat:

·        Menyuburkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan budaya dialog antara masyarakat Malaysia yang majmuk ke arah Malaysia yang aman dan makmur.

·        Menyediakan medan sesuai yang bersifat interaktif untuk para peserta saling mengenali sebagai asas komunikasi positif dan bermanfaat untuk masyarakat pelbagai agama.

·        Mengumpul pandangan secara objektif berkaitan keresahan dan kebimbangan sebenar masyarakat pelbagai agama untuk diusahakan jalan penyelesaian terbaik oleh semua pihak.

KEADILAN berharap semua pihak yang terlibat tidak terperangkap dengan agenda musuh yang mahu melihat hidup aman dan tolaransi beragama menjadi musnah. Masyarakat berbilang agama di Malaysia selama ini telah berjaya membina suasana harmoni, saling hormat menghormati dan bertolak ansur.



Dr Muhammad NurManuty
KetuaPenerangan PKR
3hb Januari, 2014
Tel: 019-3328302

Email: dr_manuty@hotmail.com