Ahad, 22 November 2009

KENYATAAN MEDIA..

PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH"

Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan “over react” dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Maka itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:
"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah.

"Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).

Sekian. Terima kasih.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
22 November 2009

Khamis, 5 November 2009

KENYATAAN MEDIA


ISU PENAHANAN DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN
3 November 2009

Insiden penahanan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) mantan Mufti Perlis di tengah malam 1 November 2009 lalu adalah satu tindakan yang dikesali. Cara beliau ditahan oleh pihak JAIS bersama sejumlah besar anggota keselamatan amatlah menjengkelkan. Ia jelas menimbulkan persepsi buruk bahawa agensi penguatkuasa agama kita kurang professional dan berhemah dalam bertindak ke atas seorang tokoh agama yang disegani. Lebih parah, sebahagian masyarakat yang kurang menguasai pengetahuan Islam akan menjadi keliru dan penghormatan mereka kepada para ulama Islam juga akan luntur.

Beliau ditahan atas alas an mengajar agama tanpa tauliah. Namun, kami berpandangan bahawa tindakan JAIS adalah didorong oleh isu utama lain yang terpendam. Dr. MAZA dituduh sedang cuba mengembangkan aliran agama yang dinamakan Wahabi yang dianggap sesat dan memecahbelah umat. JAIS hanya mengiktiraf amalan agama mengikut mazhab Shafie. Maka, drama penahanan beliau tersebut hanyalah merupakan cebisan kecil dari konflik yang wujud. Tuduhan tersebut belumpun dibuktikan. Malah Dr. MAZA sendiri menafikannya.

Sebenarnya, isu ini bukanlah perkara baru. Ia telahpun menjadi isu usang yang sering diperbaharui semula berulang kali sejak beberapa dekad yang lalu. Ia telah mengakibatkan wujudnya aliran kaum muda dan kaum tua dalam pemikiran Islam di dunia Melayu suatu ketika dulu. Masyarakat Islam silam telahpun cukup serik melaluinya. Implikasinya mereka telahpun mencari formula penyelesaian secara terbaik. Lebih jauh lagi, masalah yang ditimbulkan bukanlah merupakan permasalahan pokok yang menjejaskan pegangan akidah seorang muslim. Ia hanyalah merupakan masalah kecil (furu’), khilafiyah dan bersifat pemikiran.

Pengalaman lalu memperlihatkan bahawa apabila isu ini dikendalikan tanpa memelihara adab al-ikhtilaf (adab berbeza pendapat), maka ia akan lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikannya. Akibatnya masyarakat Islam (apatahlagi masyarakat bukan Islam) akan bertambah keliru, porak-peranda dan mengorbankan nilai silaturrahim yang lebih aula dipertahankan.

Yang menjadi masalah adalah sikap para pendokong yang fanatik atau taksub dalam perkara-perkara cabang. Sepatutnya masalah ini tidak berbangkit lagi secara terbuka kerana ia telahpun menjadi sejarah. Biarlah ia dikaji dan dibincang oleh mereka yang berkelayakan, beramanah dan tahu menilai harga pemikiran ulama dan perbezaan pendapat mereka dalam masalah-masalah tertentu.

Kami tidak bersetuju dengan kaedah tindakan menahan beliau dilakukan. Pendekatan yang dilakukan adalah melampaui batas ke atas seorang ilmuan meskipun mungkin sebahagian pegangan dan pendekatan dakwah beliau tidak kita persetujui. Kaedah keras begini boleh menyebarkan sikap permusuhan dan ketegangan sesama umat Islam sendiri.

Sheikh Yusuf al Qardawi dan lain-lain ulama yang berwibawa pernah menyarankan supaya umat Islam lebih mengutamakan perkara usul berbanding furu’ dan khilafiyyah. Juga perlu lebih mengutamakan persaudaraan dan keharmonian berbanding perpecahan dan konflik berasaskan prinsip fiqhu al aulawiyyat.

Justeru, sepatutnya kelompok prihatin kepada Islam perlu lebih memberi perhatian kepada isu-isu lebih utama seperti kezaliman, rasuah, pembunuhan, fitnah, pembohongan, pendustaan, penganiayaan, ketidakadilan dan perzinaan yang berlaku.

Sebagai contoh, dikemukakan pendirian dan pendekatan dakwah Buya HAMKA, seorang ulamak besar, pendokong aliran Muhammadiah – sebuah pertubuhan Islam dominan di alam Melayu dan amat dihormati di dunia Melayu. Beliau yang kerap datang ke Malaysia menyampaikan dakwahnya, telah bersama-sama mengangkat tangan membaca qunut ketika solat subuh lantaran menghormati amalan masyarakat Islam setempat.

Berasaskan pandangan di atas, BIPPA ingin mengemukan enam langkah penyelesaian:

1. Kita perlu memahami fiqh kehidupan bersama orang lain yang berbeda pendapat hatta yang yang berlainan agama dengan kita.

2. Kita perlu menggunakan pendekatan wasatiyyah (keseimbangan dan kesederhanaan) dalam menyelesai segala konflik pemikiran seperti yang digesa di dalam Al-Quran.

3. Semua pihak perlu menghadapi pelbagai aliran mazhab pemikiran umat Islam ini dengan jiwa penuh silaturrahim, bertolak ansur dan menghormati kepelbagaian yang wujud.

4. Institusi-institusi agama seperti Jakim, Jabatan Agama Islam, Pejabat Mufti dan lain-lain agensi agama sewajarnya kerap mengadakan muzakarah secara ilmiah dan terbuka, telus dan adil dengan pelbagai pihak yang dianggap menimbulkan kontroversi agama.

5. Pihak penguatkuasa agama Islam di semua jabatan perlu diberi latihan dan keilmuan sewajarnya mengenai undang-undang berkaitan dan bagaimana mereka boleh melaksanakan tugas secara professional dan beretika.

6. Pendekatan yang berasaskan prinsip maqasid syari’ah (matlamat terakhir syari’ah) hendaklah diutamakan demi kesucian syari’ah itu sendiri. Lantaran itu, pendekatan menghukum hendaklah dijadikan pilihan terakhir.

Semoga peristiwa di atas menjadi ibrah kepada semua pihak. Kita juga berharap agar JAIS sebagai pihak berkuasa agama yang diamanahkan menjaga urusan agama untuk rakyat di Negeri Selangor tidak membiarkan diri diperalatkan oleh mana-mana pihak lain yang bermotif politik. Apatah lagi jika pihak tersebut dengan sengaja berniat untuk memburukkan atau memecahbelahkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang ada. Sekian.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
3 November 2009

Ahad, 4 Oktober 2009


KHABAR DARI DURHAM (1)

Alhamdulillah saya dan isteri telahpun selamat tiba di KL pada 30 Sptember 2009 yang lalu setelah berada hampir tiga minggu berada di United Kingdom. Perjalanan kami ke Durham dalam bulan Ramadhan yang lalu memang menguja kami. Kami benar-benar bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana telah dikurniakan dua cucunda cahaya mata di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan Ilhai.

Di sana, saya sempat menziarahi Shaikh Rashid Ghanoushi (SRG), Pengerusi, Parti Nahdah Tunisia dan juga pemikir Islam terkenal di kota London. Saya diiringi oleh pimpinan MISG-ABIM, UK, antaranya, Sdr Arfin Munir, mantan Setiausaha Agong ABIM dan Sdr.Mohd Noh Jalil yang sedang menamatkan pengajian PhD di SOAS, Universiti of London. Perbincangan kami dengan SRG sungguh menarik. Paling utama ketika kami menggarap persoalan-persoalan Islam yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia seperti pelaksanaan syari'at dan perhubungan di antara Muslim dan bukan Muslim.

Dalam konteks syari'at, kami bersependirian bahawa kita perlu menjadikan "education" sebagai keutamaan dalam agenda pemahaman Islam berasaskan prinsip fiqh al-awlawiyyat (fiqh menurut senarai keutamaan) sebelum melaksanakan hukuman hudud secara formal. Masih terlalu banyak usaha yang perlu kita laksanakan untuk menjelaskan syari'ah dan kaitannya dengan konsep RAHMAH Allah (swt) terutama kepada masyarakat bukan Islam.

SRG berharap supaya orang-orang bukan Islam janganlah melihat syari'ah sebagai satu ancaman, kerana syariah adalah satu perundangan Ilahi yang penuh dengan limpahan rahmah untuk kelestarian hidup manusia. Malangnya, kecenderungan umat Islam yang hanya bergegas untuk "impose" hukuman-hukuman tertentu terutama hukum jenayah tanpa mempastikan implikasi negatif yang boleh berlaku di dalam masyarakat. Beliau berpandangan bahawa pendekatan sedemikian adalah tidak bersesuaian dengana kedudukan Islam dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia dimana pelbagai cabaran dalam dan luaran yang melanda (khususnya ancaman rempuhan globalisasi dalam arena politik, ekonomi, media dan budaya).

Saya juga telah berkesempatan mendengar ucapan SRG di Masjid Universiti New Castle pada 11 September yang lalu. Secara kebetulan beliau telah membentangkan kertas kerjanya mengenai jihad di sebuah Persidangan Antara Bangsa Mengenai Jihad (anjuran Jabatan Pegajian Timur Tengah, Universiti Edinburgh). Sidang tersebut telah mengumpulkan ramai orientalis, sarjana Islam yang bernuansa “Islamic apologetic” dan para pembuat dasar luar negara UK. Agenda tersirat utamanya adalah untuk menghapuskan subjek jihad supaya tersisih dari sukatan pelajaran pengajian Islam di dalam sistem pendidikan Islam di negara-negara Islam.

Namun, penjelasan SRG mengenai Fiqh al-Jihad pada malam tersebut telah cukup mempesonakan para hadirin. SRG telah merujuk buku baru Syaikh Yusuf al-Qaradawi mengenai Fiqh al-Jihad. Karya yang berhalaman seribu muka surat itu adalah penting dalam konteks Islam sedang berhadapan dengan cabaran ekstrimisme agama dan ancaman Islamaphobia tajaan dunia Barat. Kami berpandangan, karya mutakhir Syaikh Yusuf al-Qaradawi itu cukup relevan dengan perjuangan PKR. Insyallah, kami akan lakarkan pokok-pokok pemikiran beliau di dalam buku tersebut di laman blog ini tidak berapa lama lagi.

Jumaat (25 September) lalu, saya diberi peluang berceramah di School of Governance and International Affairs, Universiti Durham. Tajuk perbincangannya ialah i "Islamist Political Dynamism in Multi Culture Malaysia: The Experience of PKR”. Alhamdulillah, respon dari para pensyarah dan calun-calun pasca sarjana dari Malaysia dan lain-lain negara adalah memusakan. Saya telah menjelaskan bahawa pendekatan kelompok Islam di dalam PKR adalah realistik dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia. Justeru, prinsip keadilan, wasatiyyah (perimbangan), menghormati perbilangan agama sebagai satu Sunnatullah, karamah manusia sebagai makhluk ciptaanNya, prinsip dan kaedah siayasah syar’iyyah serta kepentingan memahami dengan mendalam dan tepat konsep maqasid syar’aiyyah (tujuan-tujuan syari’ah) adalah antara “ingredients” penting bagi dalam usaha PKR untuk memertabatkan kedudukan Islam dan sekaligus menjamin hak asasi manusia dalam konteks masyarakt majmuk di Malaysia.

Saya juga berkesempatan menyampaikan kuliah maghrib kepada masyarakat Melayu Durham sebelum meninggalkan Durham pada 27hb. September yang lalu. Progaram bulanan tersebut dikenali sebagai Program Pengajian Hadis pada setiap hari Jumaat di hujung bulan. Saya telah memilih beberapa buah hadis yang disampaikan oleh Junjungan Muhammad (saas) bersempena dengan Khutbah al-Wada’. Hadis-hadis tersebut berkisar dengan nikmat Islam sebagai agama yang benar dan komprehensif, ancaman kebendaan yang ekstrim, permasalahan perpecahan umat dan keperluan kembali berpegangan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Semoga Allah (SWT) memudahkan segala urusan kita. Insyallah kita berjumpa semula pada hari Khamis (1hb.Oktober, 09) di Malaysia.

Muhammad Nur Manuty.

Sabtu, 19 September 2009

KENYATAAN MEDIA...

SELAMAT MERAIKAN SAMBUTAN ‘EIDUL FITRI

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bagi pihak Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR, saya mengucapkan selamat meraikan sambutan ‘Eidul Fitri kapada seluruh kaum Muslimin di Malaysia. Saya juga ingin menyeru supaya marilah kita bersama menyambut hari lebaran ini dengan penuh keceriaan dan kesederhanaan.

Sesungguhnya, kejayaan kita melaksanakan amalan berpuasa dan beribadat sebaiknya di sepanjang Ramadan yang lalu, adalah merupakan satu kemenangan yang amat bermakna kepada setiap seorang Muslim. Hakkatnya, ibadah puasa yang kita laksanakan telah dapat merongkai gejolak dan kerakusan hawa nafsu yang wujud dalam diri kita agar ia tunduk kepada kehendak dan kebesaran Allah SWT.

Semoga ibadah puasa yang kita laksanakan penuh keimanan dan pengawasan (ihtisab) ini, dapat melahirkan umat yang perkasa spiritual dan jiwa raganya. Hanya, dengan ini, kita akan dapat menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran dalam segenap medan perjuangan.

Matlamat tertinggi ibadah puasa adalah untuk mencapai maqam insan yang bertaqwa dan istiqamah dalam meneruskan perjuangan dan kehidupan. Keduanya-duanya prinsip ini - taqwa dan istiqamah - adalah suatu yang kritikal keperluannya. Perjuangan membanteras segala kebatilan, kezaliman, penginayaan, kepura-puraan (nifaq), kebiadaban, pendustaan(takzib), pembaziran, rasuah dan lain-lain bentuk kebejatan moral adalah perjuangan yang besar dan tidak mudah. Ia mendambakan kekentalan jiwa dan kecerdasan akal yang tinggi.

Semoga amalan ibadah puasa kita di Ramadan yang mulia pada tahun ini, telah berupaya meningkatkan kualiti diri kita dalam segenap aspek sebagai pelindung masyarakat, pembela umat serta pembawa rahmat ke seluruh alam.

Semoga Allah (SWT) melimpahkan rahmah dan barakahNya kepada seluruh umat Islam. ‘Eid mubarak dan maaf, zahir dan batin dari kami.

Dr.Muhammad Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR
18hb.September, 2009 /28hb Ramadan 1430H

PRESS RELEASE


MIRZAN MAHATHIR INVOLVEMENT IN BREWERY INDUSTRY

Once again in this holy month of Ramadhan, we are shocked and saddened by a media statement of Mirzan Mahathir confirming his involvement in a brewery industry. Mirzan maintains that his appointment as a board member and 15% shareholding in San Miguel Corp, the biggest brewery in the Philipines, is purely a straightforward business decision. He claims that his action does not affect ones faith.

PKR would like to clarify the issue in accordance with the Islamic jurisprudence. As a matter of fact, the prohibition of alcoholic beverages is not confined just to the consumption. The prohibition covers all activities related to production and trading of the intoxicant. In Islam alcoholic beverage is “haram” either in large or small quantity.

Allah the Almighty says in theQuran:
O ye who believe! Intoxicants and gambling, (dedication of) stones, and (divination by) arrows, are an abomination― of Satan's handiwork: eschew such (abomination), that ye may prosper. (Al Maidah : 90)

In the same vein, Allah's Messenger s.a.w said:
Allah has cursed Khamr (all kinds of intoxicants), its drinker, server, seller, buyer, the one who presses it out, the one to whom it is pressed, its transporter and the one to whom it is borne". (Abu Dawood , Ibn Majah and others)

It is apparently clear that Mirzan’s attitude exposes his ignorance and carelessness about “halal” and “haram” in business undertakings from the Islamic jurisprudence perspective. Obviously his consideration is only about the worldly gain. We would like to emphasize that this attitude is only compatible with the western secularism and in conflict with the Islamic stance which requires a comprehensive adherence to all of its teachings.

Mirzan’s action surely does not only impinge upon his own image, but will also tarnish the good name of his own father Tun Dr Mahathir Mohamed (former Prime Minister), who often claimed himself to be a fundamentalist Muslim. We are saddened with this development. It is happening while various parties are working hard in educating the people especially the young to stay away from drinking.

Wouldn’t it be nice if Mirzan can act to correct the oversight as soon as possible? As a Muslim entrepreneur and descendant of a respected statesman, it is only fitting for him to be “qudwah hasanah” (admirable role model) in his business dealings and have faith in Islam the holy religion.

Dr. Muhd Nur Manuty (dr_manuty@hotmail.com)
Religous Understanding Bureau, PKR
18 September 2009

Isnin, 14 September 2009

KENYATAAN AKHBAR
PENGLIBATAN DI DALAM PERNIAGAAN ARAK

Sekali lagi di dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita rasa terkejut dan pilu dengan tersiarnya kenyataan Mirzan Mahathir melalui beberapa media yang mengesahkan penglibatan beliau di dalam sebuah industri pengeluran arak . Beliau mendakwa bahawa perlantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan pemilikan 15% saham San Miguel Corp, Filipina, sebuah syarikat pengeluaran arak yang terbesar di negara tersebut, adalah semata-mata “urusan bisnes beliau semata-mata”. Beliau menganggap apa yang dilakukan tidak memberi implikasi kepada sikap dan anutan agama seorang.

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR ingin menjelaskan kedudukan perkara ini menurut syari’at Islam. Hakikatnya, pengharaman arak oleh Allah (SWT) adalah tidak sekadar meminumnya sahaja. Malah, ia melibatkan semua kegiatan yang berkaitan dengan penghasilan dan penjualannya. Arak juga tidak mengenal kuantiti sama ada banyak atau sedikit, hatta setitikpun, hukumnya tetap haram.

Di dalam al-Qur’an Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak , berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”.
(Surah al-Ma’idah: 90).


Di dalam sebuah hadis dinyatakan:
“Rasulullah (SAW) melaknat tentang arak keatas sepuluh golongan: (1) yang memerahnya; (2) yang minta diperahkan untuknya; (3) yang meminumnya; (4) yang membawanya; (5) yang minta dihantarinya; (6) yang menuangkannya; (7) yang menjualnya; (8) yang makan hartanya; (9) yang membelinya; (10) yang minta dibelikannya”.
(Hadis riwayat Tarmizi dan ibn Majah).

Adalah jelas sikap Mirzan Mahathir menampakkan kejahilan dan ketidakprihatinan beliau mengenai halal dan haram dalam sesuatu urusniaga dan implikasinya dari segi akidah dan shari’at Islam disisi Allah (SWT). Nyata beliau hanya memikirkan keuntungan kebendaan dan dunia semata-mata. BIPPA ingin menegaskan bahawa sikap seperti ini hanyalah dapat diterima oleh doktrin sekularime Barat dan amat bertentang dengan Islam meminta umatnya menghayati seluruh ajarannya secara kaffah (komprehensif).

Tindakan beliau, sudah pasti bukan sekadar mencemar imej diri, malah ia turut mencalar imej bapa beliau Tun Dr.Mahathir Mohammad ( Mantan Perdana Menteri) yang acap kali mengangkat diri sebagai “fundamentalis Muslim”. Kita amat dukacita dengan perkembangan ini . Ia berlaku di ketika banyak pihak sedang memperihatinkan usaha mendidik rakyat terutama generasi muda supaya tidak terlibat dengan kegiatan arak. Alangkah indahnya, sekiranya Mirzan Mahathir dapat bertindak sebaiknya memperbetulkan keadaan ini dengan segera. Sebagai seorang usahawan Muslim dan anak seorang Negarawan besar, sewajarnya beliau mempamirkan “qudwah hasanah” (contoh teladan terbaik) di dalam urusan perniagaanya dan beriltizam kepada agama Islam yang suci.

Dr.Muhammad Nur Manuty
Pengerusi,
Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti Keadilan Rakyat
14 September 2009

Selasa, 8 September 2009

KENYATAAN AKHBAR

KEKECOHAN DIALOG DI SELANGOR..

Kekecohan dilakukan oleh beberapa individu yang bertindak agresif di majlis dialog mencari jalan penyelesaian isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam amat mendukacitakan. Sekali lagi, ia dilakukan oleh kelompok yang sama dengan dalam demonstrasi kepala lembu yang lalu. Ia juga dilakukan di bulan Ramadhan al kareem ini yang seharusnya menjadi medan tarbiyyah dan latihan untuk kita bersabar dan bijaksana dalam menyelesaikan segala kekusutan.

Kesempatan beristiqamah membaca Al-Quran pasti mengingatkan kita dengan peringatan dari Allah dalam surah, yang bermaksud:

  1. “Janganlah kamu berbantah-bantah nanti kamu lemah (kalah) serta hilang kekuatanmu dan hendaklah kamu berhati sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar”. (Al-Anfal(8):46).

  2. “ Dan orang-orang yang menyambut perintah Tuhannya, serta mereka mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.. “ (Surah As-Syura (42): 38)

Gelagat agresif, provokatif dan minda tertutup yang dipamirkan menggambarkan wujudnya ciri-ciri yang berikut:

  • Sememangnya telah ditanam prasangka buruk (su’ al-zann) lebih awal sebelum dari sesi dialog bermula.
  • Niat mereka menghadirinya bukan untuk mencari penyelesaian. Malah, berkemungkinan besar dengan niat buruk (mala fide) untuk mencemar imej Kerajaan PR dan kepimpinan MBnya demi untuk tujuan tersirat tertentu pada jangka panjang.

Nyata sekali, sikap Menteri Dalam Negeri yang mempertahankan tindakan mereka, menjadikan mereka lebih ‘besar kepala’ bagaikan ‘kaduk naik junjung.’ Apatah lagi, tindakan mereka yang disokong pula oleh Perdana Menteri sendiri kemudiannya - yang mendakwa bahwa kerajaan Pakatan telah mulai hilang kepercayaan rakyat. (Apakah pula komen DS Najib dengan keberanian lebih 20,000 rakyat yang berdemonstrasi secara beradab menyuarakan pandangan mereka dalam ISA baru-baru ini? ).

Kesediaan pihak Tan Sri Khalid Ibrahim, sebagai Menteri Besar dan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mengadakan dialog seharusnya mendapat apresiasi sewajarnya. Jelaslah, ia dilakukan dengan niat murni untuk menyelesaikan konflik secara berlapang dada dan bertamadun. Pihak Menteri Besar boleh memilih untuk tidak menghadirinya dan meminta pihak lain sebagai ganti. Mungkin tanggungjawab tersebut lebih sesuai ditangani oleh pihak Mufti Kerajaan Negeri dan Datuk Bandaraya Shah Alam sendiri. Maka, sewajarnyalah peluang seperti ini diambil kesempatan sebaiknya oleh mereka yang tidak puas hati.

Prinsip mencari penyelesaian konflik orang Melayu adalah ‘bagaikan menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.’Malangnya, ini tidak berlaku. Anehnya, kekecohan dilakukan oleh mereka yang mendakwa diri layak menjadi ‘TUAN’ kepada orang lain berasaskan konsep ‘ketuanan Melayu’ yang mereka perjuangkan. Bolehkan mereka nanti menjadi adil dan bijaksana andai diamanahkan tanggungjawab lebih besar memimpin Negara di masa depan? Apakah mereka sendiri sudah lupa dengan Kempen Budi Bahasa, penghayatan Rukun Negara dan Wawasan 2020 yang dilagangkan begitu gah selama ini?

Satu hal lagi, kita tidak pula kedengaran pandangan para mufti dan pemuka agama negara - yang lazim dan aktif memberikan fatwa selama ini - dalam isu demonstrasi kepala lembu ini. Di manakah keadilan kalian?

Wallahu a’lam.

Dr.Muhammad Nur Manuty (dr_manuty@hotmail.com)
Pengerusi
Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat

7 September 2009

Ahad, 30 Ogos 2009

KENYATAAN AKHBAR

ISU MENGARAK KEPALA LEMBU DI SHAH ALAM

Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya. Ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam. Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri. Tindakan kumpulan ini adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam. Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah.

Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan. Inilah iklim yang kita mahu demi membina masyarakat madani dan masa depan negara yang lebih gemilang. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. Malah, lebih parah ia boleh menimbulkan tindakbalas anarki yang mungkin tidak mampu kita kendalikan lagi.

Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan Allah di dalam Al Quran yang bermaksud:


“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”(Al-An’am: 108).

Jelasnya, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini. Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?
Melihat kepada ironisnya peristiwa yang terjadi, kita mengesyaki bagaikan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda politik tersirat yang telah dirancang lebih awal. Maka itu, semua pihak perlu berhati-hati dan berwaspada.

Dengan kejadian ini, kita menuntut agar tindakan segera hendaklah dilakukan oleh semua pihak berwajib – polis, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama sendiri. Siasatan perlu perlu dibuat, siapa sebenarnya mereka (khususnya kewujudan individu yang tidak dikenali bersama kepala lembunya), siapa di belakang mereka dan apakah matlamat mereka sebenarnya.

Kita juga memohon kesabaran dan ketenangan semua pihak. Suasana dialog dan mesyuarah dalam menyelesai segala kemelut yang berlaku hendaklah disuburkan. Ini sudah pasti dapat meningkatkan persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakatnya. Bukankah Islam itu agama yang membawa kesejahteraan?

Dr.Muhammad Nur Manuty (dr_manuty@hotmail.com)
Pengerusi
Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat

30hb.Ogos, 2009

Sabtu, 29 Ogos 2009

SEBAT KARTIKA HAMPIRI SYARIAH..



Polemik yang melanda negara mengenai isu hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang sedang hebat diperkatakan sekarang ini menampakkan dengan jelas kekeliruan banyak pihak – orang Islam dan bukan Islam - mengenai prinsip keadilan Islam dalam melaksanakan syariah.

Isu ini hendaklah dilihat dalam satu perspektif yang tepat dan holistik. PKR berpandangan bahawa ia bukan berpunca dari keraguan kepada keadilan syariah Islam, tetapi ia lebih disebabkan oleh lunturnya kepercayaan ke atas integriti sistem pentadbiran dan pelaksanaan syariah itu sendiri.

Sebagaimana integriti sistem kehakiman negara yang terhakis lantaran pelbagai gejala skandal, maka perkara yang hampir sama jugalah terjadi kepada pelaksanaan hukum syariah kita.Jelasnya, ia telah dicemari oleh pengaruh sistem politik negara masakini yang dibarahi dengan pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah.

Maka akibatnya, kita melihat pelbagai ketempangan dan ketidakadilan berlaku dalam pelaksanaan hukum Islam di negara ini.

Banyak kes yang melibatkan golongan atasan dan berpengaruh tidak diadili dengan seadilnya dan akhirnya mereka dibebaskan daripada sebarang tindakan undang-undang syariah. Memadailah kami memberikan dua contoh berikut:

Mufti Selangor yang dipecat lantaran mempertahankan tindakan undang-undang syariah yang dilaksanakan di negeri tersebut. Kegagalan pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan bertindak segera menyiasat aduan fitnah liwat yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amat ketara, agensi pelaksana hukum syariah tidak mampu melaksanakan keadilan kerana tekanan dari parti yang memerintah. Akibatknya, mereka dilihat gagal menangani pelbagai isu secara tuntas, menyeluruh dan seadilnya tanpa mengira status dan gender.Hasilnya, kredibiliti agensi-agensi ini akan sentiasa dipandang rendah dan tidak meyakinkan rakyat.

Fenomena yang sama sedang dialami dalam kes jenayah arak. Ia hanya melibatkan hukuman terhadap orang awam yang lemah, rakyat yang miskin dan kaum wanita. Pihak berkuasa dilihat gagal untuk bertindak dan menghukum para usahawan, tokoh politik dan pemimpin yang berada di belakang industri arak ini.

Dalam kes Kartika Dewi, PKR berpandangan bahawa dalam keadaan para ulama sendiri berbeza pendapat tentang jenis hukuman dan bilangan sebatan, hukuman yang dijatuhkan (terhadap wanita ini) "mendekati" hukuman Islam.

Namun begitu, sikap Kartika yang mengakui dan menyesali kesalahannya, serta tidak membantah hukuman yang dikenakan amatlah dipuji. Ia menampakkan, sebahagian daripada matlamat pelaksanaan hukuman syariah telah tercapai maksudnya.

Kita juga berpandangan bahawa Kartika berhak mengemukakan rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya dan pihak bertanggungjawab wajib mempertimbangkan rayuannya itu.Sehubungan hal di atas, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sepotong ayat al-Qur'an yang bermaksud:

"Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melaksanakan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ma'idah: 38-39)

Sebagai jalan keluar, dalam usaha ke arah mengakhiri permasalahan di atas untuk jangka pendek PKR ingin mencadangkan langkah-langkah berikut:

- Kartika Dewi perlu diberi peluang untuk membuat rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya.
- Semua pihak berkuasa termasuk pemimpin-pemimpin politik hendaklah memberi kebebasan kepada autoriti perlaksanaan syariah bagi melaksanakan tugas mereka secara professional.
- Mengiktiraf hakikat kuasa mentadbir hukum syariah adalah milik seutuhnya umat Islam.

Untuk jangka panjang, agensi pelaksana hukum syariah hendaklah diperkasakan melalui:

- Program-program tarbiyyah mendidik masyarakat Islam supaya mengelakkan diri dan meminum arak hendaklah dilancarkan secara besar-besaran oleh semua pihak –agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan NGO.
- Latihan-latihan yang lebih professional dalam pelbagai bentuk berkaitan.
- Usaha-usaha penyelarasan dan penyeragaman hukuman syariah segera dilakukan diseluruh negara.
- Rakyat perlu mempastikan wujudnya barisan kepimpinan negara yang berilmu pengetahuan dalam hal-hal keagamaan dan berintegriti.
- Selagi sistem politik negara gagal dirobah dan direformasikan, maka selagi itulah perjalanan mahkamah syariah kita tidak akan dapat berjalan dengan seadilnya.

Kegagalan melaksanakan Islam secara adil akan menjadikan Islam terus dipandang lemah oleh orang bukan Islam dan di mata masyarakat antarabangsa.