Ahad, 22 November 2009

KENYATAAN MEDIA..

PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH"

Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan “over react” dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Maka itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:
"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah.

"Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).

Sekian. Terima kasih.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
22 November 2009

Khamis, 5 November 2009

KENYATAAN MEDIA


ISU PENAHANAN DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN
3 November 2009

Insiden penahanan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) mantan Mufti Perlis di tengah malam 1 November 2009 lalu adalah satu tindakan yang dikesali. Cara beliau ditahan oleh pihak JAIS bersama sejumlah besar anggota keselamatan amatlah menjengkelkan. Ia jelas menimbulkan persepsi buruk bahawa agensi penguatkuasa agama kita kurang professional dan berhemah dalam bertindak ke atas seorang tokoh agama yang disegani. Lebih parah, sebahagian masyarakat yang kurang menguasai pengetahuan Islam akan menjadi keliru dan penghormatan mereka kepada para ulama Islam juga akan luntur.

Beliau ditahan atas alas an mengajar agama tanpa tauliah. Namun, kami berpandangan bahawa tindakan JAIS adalah didorong oleh isu utama lain yang terpendam. Dr. MAZA dituduh sedang cuba mengembangkan aliran agama yang dinamakan Wahabi yang dianggap sesat dan memecahbelah umat. JAIS hanya mengiktiraf amalan agama mengikut mazhab Shafie. Maka, drama penahanan beliau tersebut hanyalah merupakan cebisan kecil dari konflik yang wujud. Tuduhan tersebut belumpun dibuktikan. Malah Dr. MAZA sendiri menafikannya.

Sebenarnya, isu ini bukanlah perkara baru. Ia telahpun menjadi isu usang yang sering diperbaharui semula berulang kali sejak beberapa dekad yang lalu. Ia telah mengakibatkan wujudnya aliran kaum muda dan kaum tua dalam pemikiran Islam di dunia Melayu suatu ketika dulu. Masyarakat Islam silam telahpun cukup serik melaluinya. Implikasinya mereka telahpun mencari formula penyelesaian secara terbaik. Lebih jauh lagi, masalah yang ditimbulkan bukanlah merupakan permasalahan pokok yang menjejaskan pegangan akidah seorang muslim. Ia hanyalah merupakan masalah kecil (furu’), khilafiyah dan bersifat pemikiran.

Pengalaman lalu memperlihatkan bahawa apabila isu ini dikendalikan tanpa memelihara adab al-ikhtilaf (adab berbeza pendapat), maka ia akan lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikannya. Akibatnya masyarakat Islam (apatahlagi masyarakat bukan Islam) akan bertambah keliru, porak-peranda dan mengorbankan nilai silaturrahim yang lebih aula dipertahankan.

Yang menjadi masalah adalah sikap para pendokong yang fanatik atau taksub dalam perkara-perkara cabang. Sepatutnya masalah ini tidak berbangkit lagi secara terbuka kerana ia telahpun menjadi sejarah. Biarlah ia dikaji dan dibincang oleh mereka yang berkelayakan, beramanah dan tahu menilai harga pemikiran ulama dan perbezaan pendapat mereka dalam masalah-masalah tertentu.

Kami tidak bersetuju dengan kaedah tindakan menahan beliau dilakukan. Pendekatan yang dilakukan adalah melampaui batas ke atas seorang ilmuan meskipun mungkin sebahagian pegangan dan pendekatan dakwah beliau tidak kita persetujui. Kaedah keras begini boleh menyebarkan sikap permusuhan dan ketegangan sesama umat Islam sendiri.

Sheikh Yusuf al Qardawi dan lain-lain ulama yang berwibawa pernah menyarankan supaya umat Islam lebih mengutamakan perkara usul berbanding furu’ dan khilafiyyah. Juga perlu lebih mengutamakan persaudaraan dan keharmonian berbanding perpecahan dan konflik berasaskan prinsip fiqhu al aulawiyyat.

Justeru, sepatutnya kelompok prihatin kepada Islam perlu lebih memberi perhatian kepada isu-isu lebih utama seperti kezaliman, rasuah, pembunuhan, fitnah, pembohongan, pendustaan, penganiayaan, ketidakadilan dan perzinaan yang berlaku.

Sebagai contoh, dikemukakan pendirian dan pendekatan dakwah Buya HAMKA, seorang ulamak besar, pendokong aliran Muhammadiah – sebuah pertubuhan Islam dominan di alam Melayu dan amat dihormati di dunia Melayu. Beliau yang kerap datang ke Malaysia menyampaikan dakwahnya, telah bersama-sama mengangkat tangan membaca qunut ketika solat subuh lantaran menghormati amalan masyarakat Islam setempat.

Berasaskan pandangan di atas, BIPPA ingin mengemukan enam langkah penyelesaian:

1. Kita perlu memahami fiqh kehidupan bersama orang lain yang berbeda pendapat hatta yang yang berlainan agama dengan kita.

2. Kita perlu menggunakan pendekatan wasatiyyah (keseimbangan dan kesederhanaan) dalam menyelesai segala konflik pemikiran seperti yang digesa di dalam Al-Quran.

3. Semua pihak perlu menghadapi pelbagai aliran mazhab pemikiran umat Islam ini dengan jiwa penuh silaturrahim, bertolak ansur dan menghormati kepelbagaian yang wujud.

4. Institusi-institusi agama seperti Jakim, Jabatan Agama Islam, Pejabat Mufti dan lain-lain agensi agama sewajarnya kerap mengadakan muzakarah secara ilmiah dan terbuka, telus dan adil dengan pelbagai pihak yang dianggap menimbulkan kontroversi agama.

5. Pihak penguatkuasa agama Islam di semua jabatan perlu diberi latihan dan keilmuan sewajarnya mengenai undang-undang berkaitan dan bagaimana mereka boleh melaksanakan tugas secara professional dan beretika.

6. Pendekatan yang berasaskan prinsip maqasid syari’ah (matlamat terakhir syari’ah) hendaklah diutamakan demi kesucian syari’ah itu sendiri. Lantaran itu, pendekatan menghukum hendaklah dijadikan pilihan terakhir.

Semoga peristiwa di atas menjadi ibrah kepada semua pihak. Kita juga berharap agar JAIS sebagai pihak berkuasa agama yang diamanahkan menjaga urusan agama untuk rakyat di Negeri Selangor tidak membiarkan diri diperalatkan oleh mana-mana pihak lain yang bermotif politik. Apatah lagi jika pihak tersebut dengan sengaja berniat untuk memburukkan atau memecahbelahkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang ada. Sekian.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
3 November 2009