Jumaat, 8 Januari 2010

KENYATAAN MEDIA

Dialog Antara Agama
Konflik dan ketegangan yang melanda negara masa kini mengenai isu penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat bukan Islam, menampakkan dengan jelas bahawa perhubungan dan persefahaman rakyat Malaysia yang majmuk – pelbagai agama dan etnik – masih berada ditahap meresahkan dan membimbangkan serta perlu kepada usaha penyelesaian yang segera.

Justeru, antara perjuangan utama KEADILAN adalah untuk menjamin kedamaian hidup beragama berasaskan nilai-nilai keadilan sejagat dan juga perlembagaan negara.
Bagi mencapai tujuan di atas, KEADILAN sentiasa menganjurkan supaya disuburkan budaya interaktif untuk mewujudkan iklim yang kondusif ke arah kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Maka, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) KEADILAN telahpun memutuskan untuk menganjurkan Dialog Antara Agama (DIA KEADILAN) yang akan diadakah dalam masa yang terdekat. Program ini akan disertai oleh wakil-wakil daripada pelbagai pertubuhan agama yang ada di Malaysia.


Kami berharap program ini akan dapat mencapai objektif-objektif yang berikut:
  1. Menyuburkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepenting budaya dialog antara masyarakat Malaysia yang majmuk ke arah Malaysia yang aman dan makmur.
  2. Menyediakan medan sesuai yang bersifat interaktif untuk para peserta saling mengenali sebagai asas komunikasi positif dan bermanfaat untuk masyarakat pelbagai agama.
  3. Mengumpul pandangan secara objektif berkaitan keresahan dan kebimbangan sebenar masyarakat pelbagai agama untuk diusahakan jalan penyelesaian terbaik oleh semua pihak.
Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk turut serta di dalam dialog ini bolehlah berhubung dengan En Sharipuddin Muis melalui email (sharipuddin@gmail.com) atau talipon (012-267-1199).
Kejadian Membakar Gereja
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Parti KeADILan Rakyat, merakamkan kekesalan yang tidak terhingga di atas perkembangan terkini di mana beberapa buah gereja telah dicerobohi.

Sesungguhnya, perbuatan melakukan kerosakan kepada tempat ibadah mana-mana penganut agama adalah sangat bertentangan dengan prinsip agama Islam malah mana-mana agama sekalipun. Di dalam Al Quran dinyatakan
  • “Orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar, melainkan hanya kerana mereka berkata, "Tuhan kami adalah Allah." Jika Allah tidak membangkitkan sebahagian manusia menolak (kezaliman) sebahagian yang lain, nescaya telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja,rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang didalamnya banyak di sebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti akan menolong orang yang menolong agamaNya, Sesungguhnya Allah Mahakuat lagi Mahaperkasa.” (Al-Hajj: 40)
Kami menyeru kepada semua pihak agar bertenang dan berfikiran secara rasional dalam menangani isu yang sedang melanda negara pada ketika ini. Tindakan yang bersifat provokasi hanya akan memburukkan keadaan.

Kami berpandangan bahawa insiden ini boleh menimbulkan ketegangan antara agama dan mengancam keselamatan negara. Oleh yang demikian kami menuntut kepada pihak berkuasa supaya bertindak dengan tegas dan segera bagi memastikan mana-mana individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan jenayah berkenaan diadili dengan sewajarnya.

DR MUHD NUR MANUTY
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat
08 Januari 2010

Tiada ulasan: