Khamis, 4 November 2010

KENYATAAN MEDIA

Menyanggah Tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

1. Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR, ingin menyatakan bahawa serangan-serangan peribadi pelbagai bentuk dan pendekatan terhadap DSAI bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Hal ini berlaku kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang berupaya membawa perubahan ke atas sistem pemerintahan negara. Mereka yang mahu mempertahankan status quo akan menggunakan pelbagai kaedah tidak bermoral semata-mata mahu menjejaskan kredibiliti beliau.

2. Adalah jelas bahawa DSAI mempunyai kewibawaan dan keupayaan membina muafakat politik nasional dengan pewujudan gagasan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang dilihat semakin hilang relavansinya dalam realiti politik negara masa kini.

3. Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata. Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal. Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara.

4. Komitmen DSAI ketika diberi peluang memimpin negara adalah terbukti dengan rekod kecermelangan. Kepemimpinannya terserlah dan diterima dalam dan luar negara sejak awal 1970an. Beliau istiqamah (consistent) justeru kepemimpinannya untuk memimpin rakyat dan negara terutama disaat negara sedang mengalami krisis kepercayaan tetap diperlukan. Persoalannya sekarang: Kenapa beliau diminta berundur?

5. Pada hemat BIPPA yang patut berundur ialah kepimpinan negara sekarang yang telah terbukti tidak berupaya mengangkat martabat rakyat dan negara dengan kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track rekod kerendahan moral dan akhlak yang diketahui umum, terjejasnya imej negara di peringkat antarabangsa dan ketakutan pelabur-pelabur asing melabur di Malaysia.

6. Seruan Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada hakikatnya adalah manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat.


7. Akhirnya, sebagai seorang ilmuan Muslim sewajarnya beliau patut lebih berhati-hati dalam memberi pandangan supaya tidak menjejaskan kredibiliti dan kewibawaannya sehingga menyebabkan audien hilang hormat.


Dr Muhammad Nur Manuty

Pengerusi

Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR

4 hb Oktober, 2010