Khamis, 15 Ogos 2013

Mesir: Kembalikan Demokrasi Di Mesir

BIRO PENERANGAN ,PARTI KEADILAN RAKYAT 

KENYATAAN MEDIA 
PEMBUNUHAN RAKYAT DI MESIR: KEMBALIKAN SEGERA DEMOKRASI RAKYAT 


Petaling Jaya, Selangor, 14 Ogos 2013. Pertumpahan darah yang berlaku hari ini akibat serangan ganas pihak pemerintah tentera Mesir ke atas rakyatnya sendiri, adalah amat mendukacitakan.  Ia merupakan satu malapapetaka besar kepada tamadun kemanusiaan dan amalan demokrasi dunia.  Adalah nyata, rakyat yang diserang itu, termasuk wanita dan kanak, berhimpun secara aman dan tidak bersenjata apa-apa.   Justeru, tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera, nyatalah terlalu keras, tidak manasabah dan tidak dapat diterima oleh pemikiran yang waras.  Laporan-laporan setakat ini menunjukkan bahawa lebih 3,000 orang telah terbunuh dan puluhan ribu yang cedera parah.     

Penindasan tentera berterusan ini merupakan satu tamparan buruk kepada perkembangan demokrasi yang baru saja bertunas dan dinikmati oleh seluruh rakyat Mesir.  Para penyokong Dr. Muhammad Morsi, seolah-olah dengan sengaja dihimpit dan ditekan, supaya akhirnya terpaksa bergerak secara ‘underground’, tidak dapat mengawal diri dan akhirnya bertindak secara ekstrim. Jika ini berlaku, maka berpeluanglah pihak tentera dan para penyokongnya mengganyang mereka secara habis-habisan.     

Pihak tentera mendakwa bahawa kudeta berdarah yang mereka lakukan pada 3 Julai 2013 yang lalu kononnya untuk menyelamatkan demokrasi rakyat.  Nyata, apa yang berlaku kini pihak ‘penyelamat’ ini telah menjelma pula sebagai lembaga baru yang menghantui, menggerunkan serta menindas kejam rakyat.  Namun, sokongan terhadap Dr Muhammad Morsi tetap semakin berkembang dan mengakar.  Malah, sebahgian mereka bersedia untuk mati syahid demi mempertahankan demokrasi yang baru sahaja mereka nikmati.  Ini ada justifikasinya.  Beliau  dipilih sebagai Presiden melalui pengundian dan sistem demokrasi yang sah dan diiktiraf dunia.    

Kita amat sedih dan empati kepada seluruh rakyat Mesir yang berterusan terperangkap dalam konflik yang belum nampak kesudahannya ini.  Jika tidak dihentikan, ia akan menjadikan Negara Mesir yang luas dan paling ramai penduduk ini, berpecah belah dan sukar untuk distabilkan kembali.  Paling membimbangkan, andai tiada langkah-langkah yang dilakukan, boleh berlaku perang saudara yang dahsyat sebagaimana di Syria sekarang ini. Sesungguhnya, segala perkembangan terakhir yang berlaku, berserta dengan pengistiharan darurat  oleh junta tentera, mengesahkan Mesir sedang diperintah secara diktator. Justeru, semua pihak yang merasakan diri punyai maruah dan wibawa,  perlulah mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan jenayah Jeneral Al Sisi ini.  Keesahan penguasaannya ke atas kerajaan Mesir hendaklah ditolak.  Paling utama, peluang menikmati amalan demokrasi yang baru saja bermula, dikembalikan semula kepada rakyat Mesir dengan segera, tanpa syarat.   

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Biro Penerangan Parti Keadilan Rakyat

Isnin, 15 April 2013