Selasa, 11 September 2012

Kenyataan Media: Konsep al-Muwatinun


Cendikiawan Islam sifatkan
konsep kafir harbi, kafir zimmi tak lagi praktikal


Sesungguhnya, di bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan Ilahi ini, kita dikejutkan dengan pandangan seorang Tok Guru yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia haram menyokong DAP kerana DAP menentang hudud and tidak mahu mendaulatkan Islam.

Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah, seorang guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan, berhujah bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR justeru kedua-dua parti tersebut bersekongkol dengan DAP.

KEADILAN berpendirian bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat.
Ini bagi memastikan supaya konsep ini difahami mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global.

Sebenarnya, begitu ramai figur ulama dan cendekiawam Islam yang telah memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara syari’ah dan fiqh serta menganalisis fiqh berasaskan realiti semasa (fiqh al-waqi’).

Sheikh Rashid Ghanoushi (Ketua Parti al-Nahdah, Tunisia), yang kini menjadi penasihat kepada Kerajaan baru Tunisia, dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir zimmi serta kewujudan Negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di masa yang silam.

Namun, pada hari ini, ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi. Justeru, beliau menganjurkan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.

Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi. Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Muwatinun La Zimmiyyun” (Kewarganegaraan Bukan Zimmi).

Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini.

Shaikh Taha Jabir al-‘Ilwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.

Umumnya, mereka bersetuju bahawa konsep-konsep berkaitan – kafir zimmi, kafir harbi dan kafir musta’min – memang dicipta oleh para ‘ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah. Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang.

Lebih menarik lagi, disarankan agar semua pihak mengkaji perkembangan terkini yang sedang berlaku di bawah kerajaan baru Mesir yang dipimpin oleh Dr Muhammad Mursi (seorang tokoh Ikhwan al-Muslimun). Beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk merealisasikan konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata (al-muwatinun al-misriyyun al-musawuun). Di bawah kerangka ini,  konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan rakyat telah tidak menjadi relevan lagi.  Hasilnya,  semua warganegara Mesir (Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain), berhak mendapat perlindungan yang sama rata di bawah Perlembagaan Mesir.

Adalah jelas, cara UMNO menggarap persoalan ini dengan menggunakan pandangan Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah di atas adalah ketinggalan zaman dan tidak menepati perkembangan politik dunia Islam semasa. Kita berpandangan bahawa melalui laporan Utusan Malaysia tersebut, UMNO kini telah memulakan kempen pelampau agama demi mengekalkan kedudukan mereka.  Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan Negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar.

Adalah amat mengaibkan, selepas diamanahkan mengurus Negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, UMNO terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini, dengan menjadikan orang Melayu berada dalam keliru dan bingung. Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat bukan Islam menjadi tersepit dan cemas. Akibatnya, perhubungan diantara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang. Apakah agenda tersembunyi UMNO dengan sengaja menimbulkan polemik ini?

KEADILAN berpandangan bahawa dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah UMNO telah begitu terdesak dan bengkrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan. Jelas dan nyata, UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus Negara selepas PRU ke 13 nanti,  kerana telah kehilangan arah,  hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan. Wallahu’alam. .


Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan KEADILAN
11 Ogos 2012  

Selasa, 4 September 2012

Kenyataan Media: Membenteras Politik Ganas


MEMBANTERAS BUDAYA POLITIK GANAS
DAN SAMSENG



Petaling Jaya, Selangor, 4 September 2012.  Sesungguhnya, KEADILAN merasa kesal atas provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan yang mendakwa pendesak Melayu PERKASA di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar pada 2 September 2012 yang lalu. Tindakan agresif dan ganas mereka - mengungut, menjerit, memadamkan lampu, membaling kasut dan cuba melempar batu – semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sedang menyampaikan tazkirah ringkas adalah di luar batas susila bangsa Melayu dan Islam. Apatah lagi ia dilakukan dengan keizinan pihak Imam dan pengurusan masjid berkenaan. 

Kumpulan provokator tersebut hanyalah kelompok minority dan serpihan kecil. Ini terbukti apabila puluhan ribu rakyat Kedah hadir mendengar ceramah DSAI di perkarangan Stadium Darul Aman selepas peristiwa tersebut.
Adalah jelas, provokasi yang dilakukan merupakan rentetan dari siri politik ganas dan samseng yang dilakukan oleh UMNO dan para pendokongnya, sebagai manifestasi dari tekanan dan kekecewaan yang dialami apabila menyedari bahawa ia telah gagal menyekat sokongan berterusan rakyat kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU 13 akan datang.

Kita sedia maklum, bahawa UMNO/BN pernah secara angkuh memandang remeh dan hina akan kebangkitan rakyat selama ini khususnya sejak 1998 lagi.  Malah UMNO/BN begitu yakin dan selesa bahawa reformasi rakyat ini, telah pun padam selepas Berjaya memfitnah dan memenjarakan pemimpin reformasi ini DSAI.
Keputusan PRU 12 yang lalu, memang benar-benar mengejutkan UMNO. Lantaran begitut ertekan dan terdesak, mereka hilang kerasionalan dan kematangan politik, sehinggakan pemimpin tertingginya pernah melafazkan ikrar akan mempertahankan Putrajaya ‘at all cost’.   Demi mencapai matlamat ini, PERKASA hanyalah salah satu instrumen yang digunakan.

Sesungguhnya, KEADILAN ingin menegaskan bahawa apa yang dilakukanoleh PERKASA dan para pendokong UMNO ini, adalah amat merbahaya kepada kesejahteraan dan kebebasan rakyat.  Jika tidak ditampan, gejala ini pasti akan mengancam keselamatan Negara seluruhnya.  Amalan ini amat bertentangan dengan nilai dan akhlak bangsa Melayu dan Islam. Malah, ia merupakan serpihan dari budaya jahiliyah dan liar yang dilakukan oleh para penentang keadilan, kebenaran dan kebebasan sejak zaman berzaman.  Nabi Muhammad SAW  pun pernah dibaling batu dan kayu semasa menjalankan tugas dakwah dan tarbiyahnya kepada penduduk Makkah pada zaman baginda.

Hakikatnya, perbezaan pandangan dan pendirian politik adalah suatu yang fitrah. Malah perbezaan pandangan itu merupakan suatu rahmat. Inilah kenyataan yang ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, kita menyeru agar semua aktivis politik tanah air terutama para pendokong UMNO dan BN agar bersama meneruskan perjuangan kita membela rakyat ini secara  sihat, matang dan bertamadun.

KEADILAN berpandangan bahawa langkah terbaik dalam meleraikan kecelaruan politik semasa adalah melalui debat dan perbahasan umum yang teratur dan terancang. Justeru, cadangan diadakan perdebatan di antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib sendiri – hendaklah diteruskan. Dengan cara ini, rakyat dapat dididik dengan budaya politik beraras tinggi, intelektual dan bertamadun.  Namun demikian, kita merasa amat kecewa DS Najib sendiri secara bersungguh-sungguh ingin mengelakkan ia berlaku atas alasan yang begitu dangkal dan remeh.

KEADILAN juga menyeru agar  pihak berkuasa keselamatan Negara turut memberikan sokongan dalam menjayakan hasrat murni mengukuhkan amalam budaya politik aras tinggi.  Maka itu, kita menuntut agar pihak keselamatan segera bertindak secara tegas dan drastic demi membanteras budaya politik ganas dans amseng yang sedang berleluasa.

Sesungguh,  kesopanan dan kesusilaan adalah salah satu prinsip utama Rukun Negara.  Justeru, KEADILAN ingin mengulangi dengan tegas bahawa kami akan tetap mempertahankan budaya politik sihat, aman, berbudaya tinggi dan bertamaddun dalam meneruskan misi perjuangan kami mencapai agenda memartabatkan kedaulatan rakyat.    Kami juga menyeru, agar seluruh penyokong KEADILAN dan Pakatan Rakyat bersama-sama mempertahankan dasar dan amalanyang murni.

Bersamalah kita mendoakan hasrat mulia menegakkan keadilan, kebebasan dan keamanan untuk seluruh tercapai dengan izin Allah, menuruti apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW yang bersabda:  “Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin”.


Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat