Sabtu, 17 November 2012

Keadilan Bantah Keganasan Israel


KEADILAN SERU UMAT ISLAM SEDUNIA BANTAH KEGANASAN ISRAEL DI GAZA



KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya serangan Zionis Israel yang mengakibatkan Ketua Tentera Hamas, Komando Briged Al-Qassam Ahmad Jabari dan anaknya terbunuh di Gaza.

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, perbuatan kejam itu seolah-olah direstui negara sekutunya, Amerika Syarikat yang baru sahaja melalui proses pemilihan presiden yang dimenangi Barack Obama.

“Ini membuktikan tiada jaminan daripada Obama sendiri untuk menghalang Israel membunuh rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi.

“Ini bukan serangan secara rambang, mereka memang menyasarkan Ahmad Jabari, malangnya tiada satu pun kuasa dunia mampu halang regim Israel mengganas,” kesalnya.

Manuty berkata, tindakan tidak berprikemanusiaan Israel itu bukan sahaja membunuh rakyat biasa, bahkan meranapkan penempatan mereka.
“Serangan itu akan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa, habis tempat tinggal mereka musnah.

“Israel pula sibuk menambah jajahan haramnya di bumi Palestin. Itu mungkin caranya untuk kuasai Palestin,” ujar Pengerusi KEADILAN Perak itu.
Beliau menyeru supaya umat Islam seluruh dunia mencari jalan penyelesaian demi rakyat Palestin.

“Kita tidak boleh berdiam diri. Ini isu melibatkan hak kemanusiaan dan agama. KEADILAN tetap menyokong perjuangan Palestin menentang habis-habisan Israel,” tegasnya.

Ahmad Al Jabari terbunuh apabila kereta yang mereka naiki dibedil melalui serangan udara. Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilapor berkata, mereka kini sedang melancarkan operasi serangan terhadap Hamas, pejuang Jihad Islam dan kumpulan militan yang lain.

Kebelakangan ini, pegawai-pegawai Israel tekad untuk membunuh dan menyerang pemimpin-pemimpin kanan Hamas.

Pasukan Keselamatan Israel, Shit Bet mengesahkan yang mereka bertanggungjawab ke atas segala aktiviti keganasan.

Selasa, 13 November 2012

Kenyataan Merngenai Isu YB Nurul Izzah


BIRO PENERANGAN
PARTI KEADILAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA

ISU KENYATAAN YB NURUL IZZAH
MENGENAI ‘TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA’.


Petaling Jaya, Selangor, 13 November 2012.

“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.”
(Al-Quran, Al-hujurat: 6).

Ayat di atas mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang orang fasik. Seorang Muslim Al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id diutuskan oleh Nabi Muhammad saw melakukan suatu tugasan ke Kampung Bani Mustaliq.  Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu segera pulang ke Madinah melaporkan kepada Baginda Nabi apa yang ditanggapinya. Hasilnya, baginda mengarahkan Khalid al Walid bersama anggota tenteranya bertindak terhadap kampung tersebut. Namun, selepas melakukan risikan, Khalid Al Walid mendapati bahawa mereka tidaklah murtad sebagaimana didakwa. Ini dilaporkan kepada Rasulullah. Diketika inilah ayat ini diturunkan sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.

Media-media utama tertentu milik pemerintah UMNO dan Barisan Nasional telahpun kerap didapati bersalah oleh mahkamah kerana melaporkan berita yang tidak tepat, berunsur  fitnah dan sengaja diputar belitkan.  Pemimpin-pemimpin organisasi berita ini sendiri mengesahkan bahawa harus diputarbelit sesuatu berita demi mendokong aspirasi parti yang menjadi pemiliknya.

KEADILAN melihat bahawa  serangan menggila terhadap Naib Presiden Parti YB Nurul Izzah,  yang sedang berlaku sekarang ini adalah langkah terbaru UMNO dalam percubaan mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat yang semakin terhakis. Hampir kesemua pemimpin tertinggi mereka memberikan ulasan semborono ‘bagaikan menunda najis yang hanyut’.  Media milik mereka dengan sengaja membentuk persepsi yang tidak betul mengenai apa yang dinyatakan oleh YB Nurul Izzah.  Kemudiannya, dengan sengaja pula komen-komen berdasarkan persepsi yang salah ini disebar dan dijajakan.

Amatlah jelas, UMNO sedang begitu tertekan dan desperado.  UMNO gagal menghakis  tanggapan buruk rakyat terhadap dirinya dalam pelbagai jenayah dan pengkhianatan terhadap rakyat dan Negara – penyelewengan SPR, NFC, Lynas, BERSIH, Kugan, Teo Beng Hock dan sebagainya.  Isu terbaru yang paling menekan adalah skandal RM40 juta yang melibatkan beberapa menteri kanan UMNO. Ia begitu hangat diperkatakan ketika ini. Disaat kritikal inilah, kenyataan YB Nurul Izzah yang diputarbelitkan itu dijadikan isu besar untuk mengalih perhatian rakyat.

Sesungguhnya, kenyataan spontan dan bersahaja YB Nurul Izzah pada majlis berkaitan adalah secara umum dan memang boleh mengundang pelbagai persepsi dan tafsiran.  Namun, kekeliruan yang timbul telahpun diperjelaskan sendiri oleh beliau kemudiannya dengan tegas dan jelas.  Peliknya, penjelasan lanjut itu dengan sengaja ditenggelamkan demi mengelakkan rakyat mengetahui hakikat dan apa sebenarya yang diperkatakan.

KEADILAN ingin menjelaskan bahawa, YB Nurul Izzah sendiri adalah seorang yang komited kepada agamanya – Islam.  Beliau merupakan antara pemimpin harapan generasi muda Negara, merentasi semua agama dan kaum.  Latarbelakang keluarga dan penampilan yang sederhana jelas menzahirkan ketrampilan diri yang berpaksikan jiwa yang tauhidiq pada Ilahi dan agama Islam yang syumul.

Sesungguhnya, seluruh lapisan kepimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat sedang terus mara mengemudi kebangkitan rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.  Dengan kehendak Ilahi, tiada apa yang dapat menggugatnya, InsyaAllah.

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan, PKR
13 November 2012 

Selasa, 11 September 2012

Kenyataan Media: Konsep al-Muwatinun


Cendikiawan Islam sifatkan
konsep kafir harbi, kafir zimmi tak lagi praktikal


Sesungguhnya, di bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan Ilahi ini, kita dikejutkan dengan pandangan seorang Tok Guru yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia haram menyokong DAP kerana DAP menentang hudud and tidak mahu mendaulatkan Islam.

Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah, seorang guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan, berhujah bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR justeru kedua-dua parti tersebut bersekongkol dengan DAP.

KEADILAN berpendirian bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat.
Ini bagi memastikan supaya konsep ini difahami mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global.

Sebenarnya, begitu ramai figur ulama dan cendekiawam Islam yang telah memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara syari’ah dan fiqh serta menganalisis fiqh berasaskan realiti semasa (fiqh al-waqi’).

Sheikh Rashid Ghanoushi (Ketua Parti al-Nahdah, Tunisia), yang kini menjadi penasihat kepada Kerajaan baru Tunisia, dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir zimmi serta kewujudan Negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di masa yang silam.

Namun, pada hari ini, ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi. Justeru, beliau menganjurkan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.

Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi. Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Muwatinun La Zimmiyyun” (Kewarganegaraan Bukan Zimmi).

Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini.

Shaikh Taha Jabir al-‘Ilwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.

Umumnya, mereka bersetuju bahawa konsep-konsep berkaitan – kafir zimmi, kafir harbi dan kafir musta’min – memang dicipta oleh para ‘ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah. Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang.

Lebih menarik lagi, disarankan agar semua pihak mengkaji perkembangan terkini yang sedang berlaku di bawah kerajaan baru Mesir yang dipimpin oleh Dr Muhammad Mursi (seorang tokoh Ikhwan al-Muslimun). Beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk merealisasikan konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata (al-muwatinun al-misriyyun al-musawuun). Di bawah kerangka ini,  konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan rakyat telah tidak menjadi relevan lagi.  Hasilnya,  semua warganegara Mesir (Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain), berhak mendapat perlindungan yang sama rata di bawah Perlembagaan Mesir.

Adalah jelas, cara UMNO menggarap persoalan ini dengan menggunakan pandangan Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah di atas adalah ketinggalan zaman dan tidak menepati perkembangan politik dunia Islam semasa. Kita berpandangan bahawa melalui laporan Utusan Malaysia tersebut, UMNO kini telah memulakan kempen pelampau agama demi mengekalkan kedudukan mereka.  Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan Negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar.

Adalah amat mengaibkan, selepas diamanahkan mengurus Negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, UMNO terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini, dengan menjadikan orang Melayu berada dalam keliru dan bingung. Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat bukan Islam menjadi tersepit dan cemas. Akibatnya, perhubungan diantara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang. Apakah agenda tersembunyi UMNO dengan sengaja menimbulkan polemik ini?

KEADILAN berpandangan bahawa dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah UMNO telah begitu terdesak dan bengkrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan. Jelas dan nyata, UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus Negara selepas PRU ke 13 nanti,  kerana telah kehilangan arah,  hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan. Wallahu’alam. .


Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan KEADILAN
11 Ogos 2012  

Selasa, 4 September 2012

Kenyataan Media: Membenteras Politik Ganas


MEMBANTERAS BUDAYA POLITIK GANAS
DAN SAMSENG



Petaling Jaya, Selangor, 4 September 2012.  Sesungguhnya, KEADILAN merasa kesal atas provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan yang mendakwa pendesak Melayu PERKASA di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar pada 2 September 2012 yang lalu. Tindakan agresif dan ganas mereka - mengungut, menjerit, memadamkan lampu, membaling kasut dan cuba melempar batu – semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sedang menyampaikan tazkirah ringkas adalah di luar batas susila bangsa Melayu dan Islam. Apatah lagi ia dilakukan dengan keizinan pihak Imam dan pengurusan masjid berkenaan. 

Kumpulan provokator tersebut hanyalah kelompok minority dan serpihan kecil. Ini terbukti apabila puluhan ribu rakyat Kedah hadir mendengar ceramah DSAI di perkarangan Stadium Darul Aman selepas peristiwa tersebut.
Adalah jelas, provokasi yang dilakukan merupakan rentetan dari siri politik ganas dan samseng yang dilakukan oleh UMNO dan para pendokongnya, sebagai manifestasi dari tekanan dan kekecewaan yang dialami apabila menyedari bahawa ia telah gagal menyekat sokongan berterusan rakyat kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU 13 akan datang.

Kita sedia maklum, bahawa UMNO/BN pernah secara angkuh memandang remeh dan hina akan kebangkitan rakyat selama ini khususnya sejak 1998 lagi.  Malah UMNO/BN begitu yakin dan selesa bahawa reformasi rakyat ini, telah pun padam selepas Berjaya memfitnah dan memenjarakan pemimpin reformasi ini DSAI.
Keputusan PRU 12 yang lalu, memang benar-benar mengejutkan UMNO. Lantaran begitut ertekan dan terdesak, mereka hilang kerasionalan dan kematangan politik, sehinggakan pemimpin tertingginya pernah melafazkan ikrar akan mempertahankan Putrajaya ‘at all cost’.   Demi mencapai matlamat ini, PERKASA hanyalah salah satu instrumen yang digunakan.

Sesungguhnya, KEADILAN ingin menegaskan bahawa apa yang dilakukanoleh PERKASA dan para pendokong UMNO ini, adalah amat merbahaya kepada kesejahteraan dan kebebasan rakyat.  Jika tidak ditampan, gejala ini pasti akan mengancam keselamatan Negara seluruhnya.  Amalan ini amat bertentangan dengan nilai dan akhlak bangsa Melayu dan Islam. Malah, ia merupakan serpihan dari budaya jahiliyah dan liar yang dilakukan oleh para penentang keadilan, kebenaran dan kebebasan sejak zaman berzaman.  Nabi Muhammad SAW  pun pernah dibaling batu dan kayu semasa menjalankan tugas dakwah dan tarbiyahnya kepada penduduk Makkah pada zaman baginda.

Hakikatnya, perbezaan pandangan dan pendirian politik adalah suatu yang fitrah. Malah perbezaan pandangan itu merupakan suatu rahmat. Inilah kenyataan yang ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, kita menyeru agar semua aktivis politik tanah air terutama para pendokong UMNO dan BN agar bersama meneruskan perjuangan kita membela rakyat ini secara  sihat, matang dan bertamadun.

KEADILAN berpandangan bahawa langkah terbaik dalam meleraikan kecelaruan politik semasa adalah melalui debat dan perbahasan umum yang teratur dan terancang. Justeru, cadangan diadakan perdebatan di antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib sendiri – hendaklah diteruskan. Dengan cara ini, rakyat dapat dididik dengan budaya politik beraras tinggi, intelektual dan bertamadun.  Namun demikian, kita merasa amat kecewa DS Najib sendiri secara bersungguh-sungguh ingin mengelakkan ia berlaku atas alasan yang begitu dangkal dan remeh.

KEADILAN juga menyeru agar  pihak berkuasa keselamatan Negara turut memberikan sokongan dalam menjayakan hasrat murni mengukuhkan amalam budaya politik aras tinggi.  Maka itu, kita menuntut agar pihak keselamatan segera bertindak secara tegas dan drastic demi membanteras budaya politik ganas dans amseng yang sedang berleluasa.

Sesungguh,  kesopanan dan kesusilaan adalah salah satu prinsip utama Rukun Negara.  Justeru, KEADILAN ingin mengulangi dengan tegas bahawa kami akan tetap mempertahankan budaya politik sihat, aman, berbudaya tinggi dan bertamaddun dalam meneruskan misi perjuangan kami mencapai agenda memartabatkan kedaulatan rakyat.    Kami juga menyeru, agar seluruh penyokong KEADILAN dan Pakatan Rakyat bersama-sama mempertahankan dasar dan amalanyang murni.

Bersamalah kita mendoakan hasrat mulia menegakkan keadilan, kebebasan dan keamanan untuk seluruh tercapai dengan izin Allah, menuruti apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW yang bersabda:  “Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin”.


Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

Khamis, 4 November 2010

KENYATAAN MEDIA

Menyanggah Tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

1. Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR, ingin menyatakan bahawa serangan-serangan peribadi pelbagai bentuk dan pendekatan terhadap DSAI bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Hal ini berlaku kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang berupaya membawa perubahan ke atas sistem pemerintahan negara. Mereka yang mahu mempertahankan status quo akan menggunakan pelbagai kaedah tidak bermoral semata-mata mahu menjejaskan kredibiliti beliau.

2. Adalah jelas bahawa DSAI mempunyai kewibawaan dan keupayaan membina muafakat politik nasional dengan pewujudan gagasan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang dilihat semakin hilang relavansinya dalam realiti politik negara masa kini.

3. Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata. Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal. Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara.

4. Komitmen DSAI ketika diberi peluang memimpin negara adalah terbukti dengan rekod kecermelangan. Kepemimpinannya terserlah dan diterima dalam dan luar negara sejak awal 1970an. Beliau istiqamah (consistent) justeru kepemimpinannya untuk memimpin rakyat dan negara terutama disaat negara sedang mengalami krisis kepercayaan tetap diperlukan. Persoalannya sekarang: Kenapa beliau diminta berundur?

5. Pada hemat BIPPA yang patut berundur ialah kepimpinan negara sekarang yang telah terbukti tidak berupaya mengangkat martabat rakyat dan negara dengan kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track rekod kerendahan moral dan akhlak yang diketahui umum, terjejasnya imej negara di peringkat antarabangsa dan ketakutan pelabur-pelabur asing melabur di Malaysia.

6. Seruan Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada hakikatnya adalah manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat.


7. Akhirnya, sebagai seorang ilmuan Muslim sewajarnya beliau patut lebih berhati-hati dalam memberi pandangan supaya tidak menjejaskan kredibiliti dan kewibawaannya sehingga menyebabkan audien hilang hormat.


Dr Muhammad Nur Manuty

Pengerusi

Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR

4 hb Oktober, 2010

Khamis, 9 September 2010

‘Eidul Fitri Hari Kemenangan Ummah

Ramadan yang diberkati baru sahaja meninggalkan kita. Sebulan berlalu terasa begitu pantas. Sebaik sahaja bermula 10 terakhir Ramadan, junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, tabi’in dan salihin mulai merasa hiba, sedih dan pilu. Bulan yang kita lalu penuh nikmat ini akan pergi. Bulan yang sarat dengan keredhaan, rahmat dan pengampunanNya ini akan berlalu. Tidak ada jaminan kita akan menemuinya lagi pada tahun mendatang.

Ramadan ini hakikatnya bulan luar biasa. Di bulan yang rahmat ini, begitu mudah kita menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Juga, kita begitu selesa melaksanakan solat tarawih dan amal ibadat berbanding dengan malam hari yang lain. Malah, di bulan mulia ini juga kita berupaya mengawal segala anggota lahir dan batin kita supaya bersungguh-sungguh melakukan apa yang diredhai Allah. Terbukti, bahawa kita mampu mengawal tuntutan nafsu dan syahwat kita jika kita mahu. Namun, bukanlah mudah untuk kita mengulangi amalan seperti ini di bulan-bulan yang lain. Inilah kemulian dan istimewanya Ramadhan.

Kini, 1 Syawal kembali menjelma. Sesungguhnya ‘Eidul Fitri mempunyai erti yang cukup ma’nawi bagi setiap orang Muslim. Ia adalah tanda kemenangan (falah). Kemenangan yang hakiki di sisi Allah SWT hanyalah bagi mereka yang telah berjaya melaluinya dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan ketekunan. Maka itu, berasa bahagialah bagi mereka yang memenanginya. Dan merugilah bagi mereka yang telah ditewaskan.

Sambutan ‘Eidul Fitri ini akan menjadi cukup bererti andainya kita berupaya mengekalkan kualiti diri seperti mana yang diamalkan di Ramadan yang lalu. Kita perlu bertekad secara serius untuk mengangkat martabat diri sebagai khaira ummah. Ia hanya akan dicapai dengan memiliki shakhsiyyah zahiriyyah dan ma’nawiyyah iaitu penghayatan nilai kerohanian yang tinggi, memiliki akhlak mulia serta kekuatan ilmu yang mencerahkan akal dan mata hati batin (basirat ul-qalb).

Justeru, selain kegembiraan dengan kehadiran syawal, ‘Eidul Fitri juga bererti ruang untuk kita mengekalkan amalan mengawal nafsu ammarah diri yang rakus dan menundukkannya ke arah ketaqwaan kepada Allah. Malah, kita wajib berikhtiar membanteras segala bentuk kemungkaran – kezaliman, salah guna kuasa, kebiadaban, pembohongan, penghinaan, pemfitnahan dan lain-lain amalan keji (mazmumah) yang terkutuk di sisi Tuhan Yang Maha Esa. Jangan hendaknya kesucian ‘Eidul Fitri ini dinodai dengan dosa-dosa baru setelah kita dijanjikan oleh Allah SWT kembali kepada fitrah suci diangkat darjat kepada kelompok insan yang bertaqwa di sepanjang Ramadan yang lalu.

Selanjutnya, ‘Eiidul Fitri ini adalah saat yang terbaik untuk meningkatkan kualiti silaturrahim sesama keluarga, jiran dan sahabat handai serta memberikan keprihatinan kepada golongan lemah dan kurang bernasib baik tanpa mengira agama dan kaum, sesuai dengan sifat Islam itu sebagai agama rahmat ke seluruh alam.

Dengan warkah ini, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) KeAdilan mengucapkan Selamat Menyambut ‘Eidul Fitri kepada seluruh kaum Muslimin. Semoga sambutan kali ini mendapat barakah dari Allah SWT. Maaf Zahir dan Batin.

Dr Muhammad Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama
Parti Keadilan Rakyat

Isnin, 30 Ogos 2010

Orang Bukan Islam Masuk Ke Dalam Masjid

Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BIPPA)

PARTI KEADILAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA

Bagaikan menahan lukah di pergentingan, UMNO dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka. Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, UMNO dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini. Peristiwa Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos 2009 yang lalu, telahpun hampir dilupakan. Kini tindakan YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) masuk ke Surau Al-Huda, Kajang dan YB William Leong (Bendahari PKR, Ahli Parlimen PKR Selayang) masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru pula dijadikan isu besar.

Untuk menjelaskan pendirian kami mengenai isu ini, kami ingin membawa perhatian semua pihak terhadap perkara ini dari perspektif fiqh (hukum hakam Islam). Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini.

Pertama : Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid.

Kedua : Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah.

Ketiga : Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah.

Keempat : Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.

Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)".

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini. Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.

Sewajarnya, para wakil rakyat PR demikian perlulah diberikan pujian kerana kesungguhannya dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini. Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor.

Kekecohan yang digembar-gemborkan hakikatnya akan memakan tuan. Inilah gambaran kegagalan UMNO selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam. Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu. Lebih menghinakan apabila berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan. Kita sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala UMNO ini. Ini akan menjadikan kita semakin lesu dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita. Yakinlah bahawa, kerja mereka ini akan menjadi sia-sia seperti mencari umbut di dalam batu.

Hakikatnya, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan. Inilah keyakinan kita kerana Islam itu tinggi dan merupakan agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.

28 Ogos 2010

DR MUHD NUR MANUTY

Pengerusi

Biro Pemahaman & Pemantapan Agama

Parti KeADILan Rakyat