Cendikiawan Islam sifatkan
konsep kafir harbi, kafir zimmi tak lagi praktikal
Sesungguhnya, di bulan Ramadan yang
penuh dengan kerahmatan Ilahi ini, kita dikejutkan dengan pandangan seorang Tok
Guru yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia haram menyokong DAP kerana DAP
menentang hudud and tidak mahu mendaulatkan Islam.
Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah, seorang
guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan, berhujah bahawa umat Islam di negara
ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR justeru kedua-dua parti tersebut
bersekongkol dengan DAP.
KEADILAN berpendirian bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan
dibunuh) serta kafir zimmi (patuh
kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat.
Ini bagi memastikan supaya konsep ini
difahami mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia
pemikiran Islam yang bersifat global.
Sebenarnya, begitu ramai figur ulama dan
cendekiawam Islam yang telah memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat
kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara
syari’ah dan fiqh serta menganalisis fiqh berasaskan realiti semasa (fiqh al-waqi’).
Sheikh Rashid Ghanoushi (Ketua Parti
al-Nahdah, Tunisia), yang kini menjadi penasihat kepada Kerajaan baru Tunisia,
dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir
zimmi serta kewujudan Negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di
masa yang silam.
Namun, pada hari ini, ketika umat Islam
tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan
bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan
kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi. Justeru, beliau
menganjurkan konsep al-muwatinun
(kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.
Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam
dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi. Beliau
telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Muwatinun La Zimmiyyun” (Kewarganegaraan Bukan Zimmi).
Karya beliau yang bersifat ijtihadi
dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di
telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan
ini.
Shaikh Taha Jabir al-‘Ilwani (Iraq),
Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris
(Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.
Umumnya, mereka bersetuju bahawa
konsep-konsep berkaitan – kafir zimmi,
kafir harbi dan kafir musta’min –
memang dicipta oleh para ‘ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh
siasah syariah. Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula
kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa
dinamik dan berkembang.
Lebih menarik lagi, disarankan agar
semua pihak mengkaji perkembangan terkini yang sedang berlaku di bawah kerajaan
baru Mesir yang dipimpin oleh Dr Muhammad Mursi (seorang tokoh Ikhwan
al-Muslimun). Beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk merealisasikan
konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata (al-muwatinun al-misriyyun al-musawuun). Di bawah kerangka
ini, konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan
rakyat telah tidak menjadi relevan lagi. Hasilnya, semua
warganegara Mesir (Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain),
berhak mendapat perlindungan yang sama rata di bawah Perlembagaan Mesir.
Adalah jelas, cara UMNO menggarap
persoalan ini dengan menggunakan pandangan Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah di
atas adalah ketinggalan zaman dan tidak menepati perkembangan politik dunia
Islam semasa. Kita berpandangan bahawa melalui laporan Utusan Malaysia
tersebut, UMNO kini telah memulakan kempen pelampau agama demi mengekalkan
kedudukan mereka. Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan
Negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar.
Adalah amat mengaibkan, selepas
diamanahkan mengurus Negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, UMNO
terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini, dengan menjadikan orang Melayu
berada dalam keliru dan bingung. Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat
bukan Islam menjadi tersepit dan cemas. Akibatnya, perhubungan diantara rakyat
Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang. Apakah agenda
tersembunyi UMNO dengan sengaja menimbulkan polemik ini?
KEADILAN berpandangan bahawa dengan
sikap yang diperagakan ini, nyatalah UMNO telah begitu terdesak dan bengkrap
dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan
pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan. Jelas dan nyata,
UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus Negara selepas PRU ke 13
nanti, kerana telah kehilangan arah, hilang kawalan diri dan tandus
formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan. Wallahu’alam. .
Ketua Penerangan KEADILAN
11 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan