Sabtu, 19 September 2009

KENYATAAN MEDIA...

SELAMAT MERAIKAN SAMBUTAN ‘EIDUL FITRI

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bagi pihak Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR, saya mengucapkan selamat meraikan sambutan ‘Eidul Fitri kapada seluruh kaum Muslimin di Malaysia. Saya juga ingin menyeru supaya marilah kita bersama menyambut hari lebaran ini dengan penuh keceriaan dan kesederhanaan.

Sesungguhnya, kejayaan kita melaksanakan amalan berpuasa dan beribadat sebaiknya di sepanjang Ramadan yang lalu, adalah merupakan satu kemenangan yang amat bermakna kepada setiap seorang Muslim. Hakkatnya, ibadah puasa yang kita laksanakan telah dapat merongkai gejolak dan kerakusan hawa nafsu yang wujud dalam diri kita agar ia tunduk kepada kehendak dan kebesaran Allah SWT.

Semoga ibadah puasa yang kita laksanakan penuh keimanan dan pengawasan (ihtisab) ini, dapat melahirkan umat yang perkasa spiritual dan jiwa raganya. Hanya, dengan ini, kita akan dapat menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran dalam segenap medan perjuangan.

Matlamat tertinggi ibadah puasa adalah untuk mencapai maqam insan yang bertaqwa dan istiqamah dalam meneruskan perjuangan dan kehidupan. Keduanya-duanya prinsip ini - taqwa dan istiqamah - adalah suatu yang kritikal keperluannya. Perjuangan membanteras segala kebatilan, kezaliman, penginayaan, kepura-puraan (nifaq), kebiadaban, pendustaan(takzib), pembaziran, rasuah dan lain-lain bentuk kebejatan moral adalah perjuangan yang besar dan tidak mudah. Ia mendambakan kekentalan jiwa dan kecerdasan akal yang tinggi.

Semoga amalan ibadah puasa kita di Ramadan yang mulia pada tahun ini, telah berupaya meningkatkan kualiti diri kita dalam segenap aspek sebagai pelindung masyarakat, pembela umat serta pembawa rahmat ke seluruh alam.

Semoga Allah (SWT) melimpahkan rahmah dan barakahNya kepada seluruh umat Islam. ‘Eid mubarak dan maaf, zahir dan batin dari kami.

Dr.Muhammad Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR
18hb.September, 2009 /28hb Ramadan 1430H

Tiada ulasan: