Ahad, 28 Februari 2010

PAKATAN RAKYAT: KENYATAAN MEDIA

Dialog Pimpinan Agama anjuran Pakatan Rakyat

Buat julung kalinya, Majlis Dialog Bersama Pemimpin Agama yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Februari 2010 di The Club Bukit Utama, Damansara. Dialog ini merupakan satu peristiwa amat bersejarah bagi masyarakat majmuk di Malaysia yang amat memerlukan program-program yang dapat meningkatkan mutu perhubungan dan komunikasi di antara anggota masyarakatnya. Apatah lagi, ia dianjurkan pada ketika rakyat Malaysia sedang menghadapi pelbagai kemelut ketegangan agama dan kaum khususnya mengenai penggunaan kalimah ‘Allah” yang dicetuskan baru-baru ini.

Dialog yang dianjurkan sekretariat Pakatan tersebut telah menemukan para pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat terutama YB Dato Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR), YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan YB Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS). Turut serta adalah Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang), Ustaz Idris Ahmad (Ketua Penerangan PAS) beserta dengan kumpulan tokoh-tokoh pemimpin dari Parti masing-masing.

Majlis ini telah dihadiri oleh lebih dari 100 orang peserta yang terdiri dari para pemimpin NGO kesemua agama utama yang wujud di Malaysia – Islam, Kristian, Budha, Hindu dan Sikh. Malah, sebahagian besar yang hadir merupakan tokoh-tokoh dari pelbagai profesionalisme seperti ahli akademik, intelektual, peguam, korporat dan aktivis masyarakat.

Kami berpandangan bahawa sesi dialog yang telah berjalan selama kira-kira hampir 3 jam ini telah berjaya menghasilkan kesan dan rumusan-rumusan seperti berikut:

Majlis ini telah berjaya mewujudkan persefahaman di kalangan para pemimpin pelbagai agama untuk saling mengenali dan hormat menghormati antara dengan lain.

Ia telah dapat meleraikan konflik isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam suasana yang amat kondusif kerana adanya sikap positif dan kejujuran untuk menyelesaikannya secara terbuka, adil dan bijaksana.

Meskipun setiap agama adalah berbeza namun semua pihak mengakui bahawa wujudnya kebersamaan nilai-nilai murni dan akhlak di antara semua agama ini yang perlu diiktiraf dan dimanfaatkan dalam membangun tamaddun masyarakat Malaysia di masa depan.

Persetujuan bahawa budaya dialog antara agama-agama seperti ini perlu diteruskan dan dirancang sebaiknya oleh Pakatan Rakyat untuk disemarakkan di masa hadapan.

Keinsafan kesemua pihak agar budaya dialog ini dapat disebarluaskan ke dalam masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.

Kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat akan menjadikan program dialog antara agama sebagai program yang wajib dilaksanakan untuk mendidik masyarakat supaya mempunyai pengetahuan dan meraikan realiti kewujudan kepelbagaian agama di Malaysia.

Usaha untuk mewujudkan persefahaman seperti ini merupakan satu langkah proaktif bermakna. Tidak mungkin kita dapat bersetuju dalam semua perkara. Inilah realiti dan keindahannya. Namun usaha-usaha seperti in sudah pasti dapat mencari titik persefahaman dan penyelesaian sebarang konflik yang berlaku dalam masyarakat dari semasa ke semasa.

Sekian lama, para pemimpin negara Malaysia begitu berbangga kepada dunia antara bangsa akan kewujudan rakyatnya yang terdiri dari pelbagai agama dan kaum. Namun begitu, berlakunya krisis mengenai isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang mengakibatkan beberapa rumah ibadat pelbagai agama telah diceroboh, menyebabkan imej negara menjadi begitu tercalar. Insiden ini jelas menampakkan bahawa kebanggaan kita selama ini hanyalah bersifat lahiriah semata-mata. Namun hakikat isi dan kualitinya adalah kosong dan hampa. Adalah amat menyedihkan melihat betapa rendahnya kualiti perhubungan masyarakat Malaysia sehinggakan ada sebahagiannya yang memandang sinis program-program dialog seperti ini.

Majlis dialog seperti yang telah berlangsung tersebut cukup istimewa kerana ia merupakan program yang menemukan tamaddun-tamaddun besar dan utama di dunia – sama ada dari segi agama ataupun bangsa. Justeru, permulaan bersejarah yang telah dibina ini perlu dijadikan teras membina tamaddun baru Malaysia di masa hadapan.

Sekian.

13 Februari 2010
Sekretariat
Pakatan Rakyat

Tiada ulasan: