Alhamdulillah, kini Ramadhan datang berkunjung lagi. Kehadirannya memang dinanti-nanti oleh orang-orang yang beriman. Allah SWT tidak mensyari’atkan sesuatu hukum melainkan kerana terdapat hikmah disisinya. Bagi orang-orang dapat menggunakan akal, mereka pasti dapat memahami hikmah sesuatu hukum Ilahi dengan mendalam. Malanglah bagi mereka yang tidak mengetahui rahsia sesuatu hukum. Ramadhan adalah saatnya untuk kita meraih peluang beribadat semaksima yang mungkin. Justeru, kita wajar melahirkan rasa syukur apabila Allah SWT telah menganugerahkan sapaan Ramadan dariNya.
Junjungan Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis:
“Ramadan datang kepada kalian, bulan yang penuh berkat, pada bulan itu Allah SWT akan memberikan naunganNYa kepada kalian. Dia menurunkan RahmatNya, Dia menghapuskan kesalahan-kesalahan dan Dia mengkabulkan du’a. Pada bulan itu Allah SWT akan melihat kalian berlumba-lumba melakukan kebaikan. Allah SWT akan membangunkan kalian di hadapan malaikat. Maka perlihatkanlah kebaikan diri anda, sesungguhnya orang yang celaka adalah orang-orang yang tidak mendapat rahmat dari Allah SWT.” (Hadis Riwayat Tibrani).
“Ramadan datang kepada kalian, bulan yang penuh berkat, pada bulan itu Allah SWT akan memberikan naunganNYa kepada kalian. Dia menurunkan RahmatNya, Dia menghapuskan kesalahan-kesalahan dan Dia mengkabulkan du’a. Pada bulan itu Allah SWT akan melihat kalian berlumba-lumba melakukan kebaikan. Allah SWT akan membangunkan kalian di hadapan malaikat. Maka perlihatkanlah kebaikan diri anda, sesungguhnya orang yang celaka adalah orang-orang yang tidak mendapat rahmat dari Allah SWT.” (Hadis Riwayat Tibrani).
Justeru, umat Islam sewajarnya merasa sangat gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia tetapi bukan sebagai suatu pesta makan dengan pelbagai hidangan mewah sehingga berlakunya pembaziran. Puasa juga bukan suatu bebanan fizikal untuk menjadi seorang pemalas dan membuang masa dengan banyak tidur di siang hari. Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan bahawa umat Islam berjihad menentang musuh di dalam pelbagai peperangan untuk mempertahankan agama suci ini dari serangan musuh. Perang Badar al-Kubra pada zaman Rasulullah SAW adalah bukti yang jelas.
Selanjutnya, keistimewaan puasa ialah kerana ia dapat melakukan proses penyucian jiwa “Tazkiyyat al-Nafs”. Dalam bulan yang suci ini, umat Islam hendaklah membaca al-Qur’an secara tadabbur, berzikir, menunaikan solat tarawih, menghidupkan malam dengan ibadah tahajjud dan lain-lain solat sunat, bersedekah kepada golongan mustad’afin, berhenti melakukan perbuatan munkar seperti terlibat dengan amalan keji fitnah memfitnah, bercakap bohong, mengeluarkan perkataan-perkataan keji, mengumpat orang dan lain-lain perbuatan mazmumah (keji). Manusia sentiasa terdedah dengan cengkaman nafs al-ammarah (nafsu jahat). Menentang gejolak nafsu adalah satu jihad. Sesungguhnya runtunan nafsu jahat menyebabkan manusia menjadi gila kuasa, gila pangkat dan kedudukan, gila harta, gila wanita dan teruja dengan kemewahan hidup di dunia yang fana’.
Kita sedang saksikan dimana-mana, termasuklah di negara kita saat ini, manusia menjadi rosak dan pelbagai bentuk kebejatan moral (fasad) sedang berlaku dihadapan mata kita. Perbuatan zalim, amalan rasuah yang berleluasa, budaya fitnah memfitnah, kes-kes rogol yang bertambah, insiden-insiden pembunuhan, pembuangan janin yang semakin menjadi-jadi, kesemuanya ini adalah kemungkaran dan fahsya’ yang boleh mengundang kemurkaan dari Allah SWT jika kita tidak dilakukan sesuatu. Justeru, kita mendoa’kan supaya orang-orang yang banyak melakukan dosa agar segera insaf bertaubat nasuha dan kembali ke pangkal jalan.
Selain itu, kita wajar menjadikan ibadah puasa pada tahun ini sebagai ibadah puasa yang lebih berkualiti. Al-Qur’an menyatakan bahawa tujuan utama berpuasa adalah untuk mencapai ketaqwaan seperti yang terungkap di dalam sepotong ayat al-Qur’an “la’allakum tattaqun”. Justeru, tidak mudah untuk kita mencapai tingkat ketaqwaan seandainya orang-orang yang berpuasa tidak menghayati sepenuhnya segala peraturan dan etika puasa. Bagi mencapai tahap puasa yang berkualiti ini, bukanlah mudah. Sebab, Junjungan Muhammad SAW telah mengingatkan umatnya tentang risiko bagi orang yang berpuasa.
Baginda bersabda:
“Banyak di antara yang berpuasa tidak memperolehi sesuatu dari puasanya, kecuali rasa lapar dan dahaga.”
Ini bererti bahawa penahanan diri dari lapar dan dahaga bukan tujuan utama dari puasa. Yang dituntut di dalam ibadah puasa adalah lebih dari itu. Sesungguhnya puasa itu adalah suatu ibadah yang sungguh istmewa kerana ia merupakan rahsia antara Allah SWT dan pelakunya sendiri. Harapan kita ialah untuk berupaya melakukan perubahan supaya ibadah puasa dalam bulan Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Kita berdoa’ kepada Allah SWT supaya ibadah puasa yang kita kerjakan tidak kekal selama-lamanya pada tahap “puasa orang-orang awam” sahaja. Yang kita dambakan ialah puasa yang “berkualiti” seperti puasa orang-orang salih. Dalam kehidupan dunia ini, segala perkara yang berkaitan dengan pengurusan hidup, kita bersusah payah mahu mencapai “end product” yang berkualiti. Tetapi dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan titah perintah Allah SWT, kita senang berpuas hati dengan pencapaian minima walhal para anbia’ dan rasul-rasul, para sahabat dan tabi’i bersungguh-sungguh dalam segala bentuk ibadat kerana ingin mencapai tahap kecemrlangan disisi Allah SWT.
Selanjutnya, puasa di dalam bulan Ramadhan juga dinamakan “Bulan Kesemarataan” (shahru ‘l muwasah). Inilah bulan yang dapat merapatkan lagi silaturrahim sesama Muslim dan bulan yang menyuburkan rasa kesetiakawanan antara individu.
Akhirnya, kita mengutip pandangan Syaikh Yusuf al-Qaradawi dengan menyebut bahawa puasa sebenarnya adalah sebuah sekolah kerohanian yang sangat istimewa (madrasah mutamayyizah). Islam menawarkannya pada setiap tahun demi merealisasikan sebuah aganeda praktis yang amat tinggi nilainya secara zahiriyyah dan batiniyyah. Sesiapa yang yang mengambil peluang keemasan ini dengan melakukan puasa yang terbaik dari segi penghayatannya, maka individu-individu berkenaan akan berjaya di dalam ujian yang besar ini dengan meraih keberuntungan – Rahmah, Maghfirah dan Barakah dari Allah SWT.
Dr Muhammad Nur Manuty
Pengerusi BIPPA, PKR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan