KEADILAN SERU UMAT ISLAM SEDUNIA BANTAH KEGANASAN ISRAEL DI GAZA
KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya serangan Zionis Israel yang mengakibatkan Ketua Tentera Hamas, Komando Briged Al-Qassam Ahmad Jabari dan anaknya terbunuh di Gaza.
Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, perbuatan kejam itu seolah-olah direstui negara sekutunya, Amerika Syarikat yang baru sahaja melalui proses pemilihan presiden yang dimenangi Barack Obama.
“Ini membuktikan tiada jaminan daripada Obama sendiri untuk menghalang Israel membunuh rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi.
“Ini bukan serangan secara rambang, mereka memang menyasarkan Ahmad Jabari, malangnya tiada satu pun kuasa dunia mampu halang regim Israel mengganas,” kesalnya.
Manuty berkata, tindakan tidak berprikemanusiaan Israel itu bukan sahaja membunuh rakyat biasa, bahkan meranapkan penempatan mereka.
“Serangan itu akan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa, habis tempat tinggal mereka musnah.
“Israel pula sibuk menambah jajahan haramnya di bumi Palestin. Itu mungkin caranya untuk kuasai Palestin,” ujar Pengerusi KEADILAN Perak itu.
Beliau menyeru supaya umat Islam seluruh dunia mencari jalan penyelesaian demi rakyat Palestin.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Ini isu melibatkan hak kemanusiaan dan agama. KEADILAN tetap menyokong perjuangan Palestin menentang habis-habisan Israel,” tegasnya.
Ahmad Al Jabari terbunuh apabila kereta yang mereka naiki dibedil melalui serangan udara. Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilapor berkata, mereka kini sedang melancarkan operasi serangan terhadap Hamas, pejuang Jihad Islam dan kumpulan militan yang lain.
Kebelakangan ini, pegawai-pegawai Israel tekad untuk membunuh dan menyerang pemimpin-pemimpin kanan Hamas.
Pasukan Keselamatan Israel, Shit Bet mengesahkan yang mereka bertanggungjawab ke atas segala aktiviti keganasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan