Dr Muhammad Nur Manuty
Dr Muhammad Nur Manuty
SHAH ALAM – Gesaan Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Abdul Rahman Sulaiman supaya ahli PKR beragama Islam mengkaji semula status keahlian mereka dalam parti itu satu lagi permainan politik Umno, kata Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty.

“Tak perlu layan, semua orang tahu ini permainan politik saja, dah jelas apa dia (Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar) punya kenyataan, saja nak main politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Beliau juga memberi amaran kepada Mubarak supaya tidak memanjangkan isu kenyataan kontroversi Nurul Izzah berhubung kebebasan beragama.

Katanya, hal tersebut telah diperjelaskan Nurul Izzah, namun ada pihak tertentu sengaja menenggelamkan hal sebenar bagi mengelak daripada diketahui rakyat.

“Jangan nak panjang-panjangkan hal ini, bagi saya gesaan Mubarak itu bukan menjadi masalah kepada kita," tegasnya.

Muhammad menambah, hal tersebut diperakui sendiri oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Kota Bharu kelmarin.

Jelasnya, gesaan Mubarak tidak menjejaskan keyakinan ahli terhadap parti berbilang bangsa itu.

"Kita yakin bahawa rakyat hanya menunggu masa untuk menolak BN, Insya-ALLAH akan menolak Umno-BN," ulasnya.

Mubarak menggesa ahli PKR yang beragama Islam mengkaji semula keahlian mereka setelah Nurul Izzah enggan menarik balik kenyataan kontroversinya berhubung kebebasan wang.