Ahad, 25 Julai 2010

KENYATAAN MEDIA

Hentikan Kezaliman, Tegakkan Keadilan: Penyelesai Isu Perpaduan Melayu dan Islam.

Untuk kesekian kalinya, isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh UMNO lagi. Parti yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari bahawa kedudukan politiknya adalah semakin terdesak dan terancam. Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Sokongan orang bukan Melayu pula kini amat terhakis. Gelombang sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak jelas sudah beralih kepada Pakatan Rakyat. Lantaran, UMNO sedang menggunakan politik michevelli yang dianutinya. Isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelah Pakatan Rakyat. Ini dilakukan selepas gagal menggunakan fitnah ‘liwat’, membeli wakil-wakil rakyat PR dan menuduh Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu, agen Yahudi, CIA dan Amerika Syarikat serta berbagai tuduhan lagi. Dalam masa yang sama media penyampai maklumat kepada rakyat cuba disekat dengan harapan ‘psywar’ yang dilancar ini menjadi.

Sebenarnya, perpaduan yang dijaja ini hanyalah untuk menyelamatkan politik UMNO itu sendiri. UMNO ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu. Ia diakibatkan oleh segala kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka sendiri. Segala khazanah negara sedang di ‘faraid’ sesama sendiri dengan pelbagai cara. Tabung simpanan felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan demi menjaga survival UMNO. Ekonomi negara sedang menguncup dan para pelabur semakin menjarak diri dari kita. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Kita semakin bimbang bagaimana nanti rakyat miskin di bandar-bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat meneruskan kehidupan mereka yang sudahpun sengsara sekian lama. Menyedari rakyat semakin meminggirkannya, UMNO melagang isu perpaduan Melayu.


Hakikatnya, pelbagai agenda perpaduan politik Melayu telahpun dicuba sebelum ini. Namun, semuanya berakhir dengan kegagalan. Paling jelas, gabungan PAS dan UMNO di dalam Barisan Nasional pada tahun 1971 berkesudahan PAS di tendang keluar dari BN. Kegagalan ini mencetuskan percubaan bentuk baru oleh Anwar Ibrahim, apabila beliau dan rakan-rakannya dari ABIM berijtihad untuk aktif dalam UMNO. Ia berakhir dengan satu kemelut besar yang paling menyayat hati dalam sejarah politik Melayu Islam. Beliau disingkir dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO secara cukup hina dan mengaibkan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu seorang pemimpin hebatnya dijatuhkan dengan fitnah ‘liwat’ seperti ini. Begitu pelik dan luarbiasa, namun ia boleh berlaku di dalam budaya politik UMNO.

Jelaslah, perpecahan politik Melayu tetap berlaku meskipun para pemimpinnya berada dalam wadah yang sama, sama ada UMNO atau BN. Lupakah kita dengan peristiwa pembunuhan Allahyarham Dato Mohd Taha di Gemencheh Negeri Sembilan? Apakah kita lupa dengan pergolakan politik di antara Team A dan B di dalam UMNO hingga menyebabkan UMNO di bubarkan pada tahun 1987 dan kemudiannya mengakibatkan tertubuhnya UMNO Baru dan Parti Semangat 46? Meskipun kemudiannya Parti Semangat 46 dibubarkan dan kembali bergabung di dalam UMNO, namun isu perpaduan Melayu tidak juga berkesudahan. Malah, penggabungan Semangat 46 ke dalam UMNO seakan-akan sengaja dirancang sebagai persediaan untuk mencipta krisis baru politik Melayu dengan peristiwa penyingkiran DSAI dari UMNO beberapa kemudiannya.

Bagaimana mungkin UMNO mengemudi perpaduan Melayu sedangkan perpaduan itu tidak wujud dalam tubuh badannya sendiri? UMNO kini adalah bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. UMNO umpama sebuah bangunan yang kelihatan besar dan hebat, sedangkan segala tiang, rasuk dan gelegarnya telahpun hancur luluh dimakan bubuk dan anai-anai. Ia bakal runtuh bila-bila masa sahaja. Dengan pelbagai perkembangan mutakhir yang berlaku, kita meramalkan satu krisis baru yang amat menggemparkan akan berlaku di dalam kepimpinan UMNO tidak berapa lama lagi. Percayalah!

Perjuangan para pemimpin UMNO bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati. Maka, amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa. Dana dan sumber negara di mana jua akan diperah dan khianati semahunya. Maka judi sukan yang jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana.

Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilai-nilai teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai…..” (Ali-Imran: 103)

Isu perpaduan Melayu dan survival Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong UMNO dan para kuncunya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika UMNO benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini. Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam. Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan. Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah. Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat. Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, UMNO telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka. Perkembangan inilah yang amat menggerunkan UMNO sekarang ini, lantas menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang di telan gelombang rakyat yang menuntut keadilan.

24 Julai 2010

DR MUHD NUR MANUTY

Pengerusi

Biro Pemahaman & Pemantapan Agama

Parti KeADILan Rakyat

Selasa, 29 Jun 2010



KENYATAAN MEDIA


Semangat musyawarah menjadi teras utama dalam proses membuat keputusan di dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Program TemuRapat (retreat) KEADILAN yang telah berlangsung pada 26 - 27 Jun, di Hotel Quality, Shah Alam, Selangor, telah membuktikan bahawa KEADILAN sangat iltizam dengan prinsip musyawarah. Amalan tersebut bertepatan dengan perintah Allah (SWT) seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an: “..Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan keduniaan. Kemudian apabila kamu telah berazam (sesudah mesyuarat untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah (SWT), Sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.” (Surah Ali ‘Imran: 159). Junjungan Muhammad (SAW) sendiri suka mendapat pandangan dari para sahabat seperti yang dapat dilihat dalam hadis berikut “Berikan pandangan kamu semua kapada Aku.”


Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang telah diadakan selepas program temurapat itu telah sebulat suara merumuskan untuk terus memperkukuhkan sistem penyampaian (delivery) kepada rakyat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) dan mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Perlantikan YB Azmin Ali, Naib Presiden KEADILAN sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor (MPN) akan memberi ruang kepada YAB Tan Sri Dato Seri Abd Khalid Ibrahim (TSKI) untuk menumpukan sepenuh perhatian beliau dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri Selangor.


Soal kedudukan TSKI sebagai Menteri Besar Selangor tidak pernah timbul sama sekali. Tidak ada sebab untuk TSKI digantikan dengan orang lain sebagai Menteri Besar Selangor. TSKI akan terus diamanahkan dengan tugas memimpin kerajaan negeri. Tempoh dua tahun yang lalu telah membuktikan kemampuan bekas tokoh korporat yang berwibawa ini mentadbir negeri Selangor dengan cekap, telus dan amanah. Kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan beliau terbukti cemerlang dan bebas dari gejala salahguna kuasa yang sangat sinonim dengan kerajaan terdahulu. Pemimpin dan anggota parti di segenap peringkat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap TSKI sebagai Menteri Besar Selangor.


Bagi memperkukuhkan agenda parti dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang, KEADILAN telah memilih seorang Naib Presiden kanan parti yang sangat berpengalaman, YB Azmin Ali, sebagai Pengerusi MPN Selangor. Sdra Azmin Ali bertanggungjawab terhadap pengurusan jentera parti di peringkat negeri Selangor. Jentera parti akan diperkemaskan untuk menangkis fitnah dan serangan jahat Barisan Nasioanal yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Jentera parti juga akan diperkukuhkan sebagai langkah utama menuju ke Putrajaya.


Pengagihan tugas di antara memimpin kerajaan dan mengemudi jentera parti bukanlah sesuatu yang asing. Amalan ini berlaku di mana-mana, samada di dalam atau pun luar negara. Malah amalan ini turut dianuti oleh UMNO yang seringkali melakukannya bagi mengatasi keberantakan yang berlaku di kalangan ahli mereka. Perhubungan UMNO Terengganu kini diketuai Dato Seri Hishamuddin walaupun kerajaan negeri sekarang ini dipimpin oleh Dato Ahmad Said. Tidak lama dahulu Tan Sri Muhammad Taib dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor walaupun Dato Seri Khir Toyo yang menjadi Menteri Besar. Di luar negara pula kita melihat kerjasama yang erat di antara parti dan kerajaan walaupun dipimpin oleh orang yang berbeza seperti yang berlaku di England, India, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Malah amalan demokrasi di negara-negara berkenaan berkembang dengan sangat baik dan matang.


KEADILAN sebenarnya sangat maklum dengan mainan jahat Barisan Nasional melalui media yang dikuasai oleh mereka. Pelbagai cerita karut marut dihidangkan kepada rakyat. Mereka sangat berharap fitnah jahat ini akan dapat mengganggu gugat keutuhan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat. Malang bagi BN, sehingga ke hari ini, sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terus meningkat. Semangat anggota parti komponen juga tidak sama sekali terkesan oleh segala pembohongan tersebut.



Tarikh : 29 Jun 2010

Prof Madya Dr Muhammad Nur Manuty

Ahli Majlis Pimpinan Pusat

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)




Ahad, 28 Februari 2010

PAKATAN RAKYAT: KENYATAAN MEDIA

Dialog Pimpinan Agama anjuran Pakatan Rakyat

Buat julung kalinya, Majlis Dialog Bersama Pemimpin Agama yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Februari 2010 di The Club Bukit Utama, Damansara. Dialog ini merupakan satu peristiwa amat bersejarah bagi masyarakat majmuk di Malaysia yang amat memerlukan program-program yang dapat meningkatkan mutu perhubungan dan komunikasi di antara anggota masyarakatnya. Apatah lagi, ia dianjurkan pada ketika rakyat Malaysia sedang menghadapi pelbagai kemelut ketegangan agama dan kaum khususnya mengenai penggunaan kalimah ‘Allah” yang dicetuskan baru-baru ini.

Dialog yang dianjurkan sekretariat Pakatan tersebut telah menemukan para pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat terutama YB Dato Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR), YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan YB Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS). Turut serta adalah Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang), Ustaz Idris Ahmad (Ketua Penerangan PAS) beserta dengan kumpulan tokoh-tokoh pemimpin dari Parti masing-masing.

Majlis ini telah dihadiri oleh lebih dari 100 orang peserta yang terdiri dari para pemimpin NGO kesemua agama utama yang wujud di Malaysia – Islam, Kristian, Budha, Hindu dan Sikh. Malah, sebahagian besar yang hadir merupakan tokoh-tokoh dari pelbagai profesionalisme seperti ahli akademik, intelektual, peguam, korporat dan aktivis masyarakat.

Kami berpandangan bahawa sesi dialog yang telah berjalan selama kira-kira hampir 3 jam ini telah berjaya menghasilkan kesan dan rumusan-rumusan seperti berikut:

Majlis ini telah berjaya mewujudkan persefahaman di kalangan para pemimpin pelbagai agama untuk saling mengenali dan hormat menghormati antara dengan lain.

Ia telah dapat meleraikan konflik isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam suasana yang amat kondusif kerana adanya sikap positif dan kejujuran untuk menyelesaikannya secara terbuka, adil dan bijaksana.

Meskipun setiap agama adalah berbeza namun semua pihak mengakui bahawa wujudnya kebersamaan nilai-nilai murni dan akhlak di antara semua agama ini yang perlu diiktiraf dan dimanfaatkan dalam membangun tamaddun masyarakat Malaysia di masa depan.

Persetujuan bahawa budaya dialog antara agama-agama seperti ini perlu diteruskan dan dirancang sebaiknya oleh Pakatan Rakyat untuk disemarakkan di masa hadapan.

Keinsafan kesemua pihak agar budaya dialog ini dapat disebarluaskan ke dalam masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.

Kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat akan menjadikan program dialog antara agama sebagai program yang wajib dilaksanakan untuk mendidik masyarakat supaya mempunyai pengetahuan dan meraikan realiti kewujudan kepelbagaian agama di Malaysia.

Usaha untuk mewujudkan persefahaman seperti ini merupakan satu langkah proaktif bermakna. Tidak mungkin kita dapat bersetuju dalam semua perkara. Inilah realiti dan keindahannya. Namun usaha-usaha seperti in sudah pasti dapat mencari titik persefahaman dan penyelesaian sebarang konflik yang berlaku dalam masyarakat dari semasa ke semasa.

Sekian lama, para pemimpin negara Malaysia begitu berbangga kepada dunia antara bangsa akan kewujudan rakyatnya yang terdiri dari pelbagai agama dan kaum. Namun begitu, berlakunya krisis mengenai isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang mengakibatkan beberapa rumah ibadat pelbagai agama telah diceroboh, menyebabkan imej negara menjadi begitu tercalar. Insiden ini jelas menampakkan bahawa kebanggaan kita selama ini hanyalah bersifat lahiriah semata-mata. Namun hakikat isi dan kualitinya adalah kosong dan hampa. Adalah amat menyedihkan melihat betapa rendahnya kualiti perhubungan masyarakat Malaysia sehinggakan ada sebahagiannya yang memandang sinis program-program dialog seperti ini.

Majlis dialog seperti yang telah berlangsung tersebut cukup istimewa kerana ia merupakan program yang menemukan tamaddun-tamaddun besar dan utama di dunia – sama ada dari segi agama ataupun bangsa. Justeru, permulaan bersejarah yang telah dibina ini perlu dijadikan teras membina tamaddun baru Malaysia di masa hadapan.

Sekian.

13 Februari 2010
Sekretariat
Pakatan Rakyat

Sabtu, 23 Januari 2010

KENYATAAN MEDIA

Muzakarah Pakar
"Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya"


Kami telah dijemput sebagai mewakili parti masing-masing dan individu dalam Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada 21 Januari 2010. Laporan beberapa akhbar harian pada 22 Januari 2010 telah menyatakan sebagai berikut :


“Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada 'God' tidak tepat. Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia”.


Apa yang tidak dinyatakan di dalam laporan berkenaan ialah pendirian konsisten kami bahawa :
  1. Penggunaan kalimah nama ”Allah” untuk tujuan amalan agama sesama penganut agama Kristian dan Yahudi adalah dibenarkan oleh Islam, dengan bersumberkan dalil Al Quran dan As Sunnah serta pandangan ulama muktabar.
  2. Demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara, polemik ini hendaklah diselesaikan dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana.
  3. Berasaskan semangat musyawarah dan saling memahami dalam konteks masyarakat Malaysia, maka suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira dalam menentukan penggunaan kalimah “Allah” itu. Penggunaan kalimah “Allah” secara tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Oleh itu, satu garispanduan penggunaannya perlulah diwujudkan.


Kami juga ingin menyatakan bahawa sebagaimana yang telah dipersetujui oleh pihak penganjur dan para panel muzakarah, dan berdasarkan kepada tradisi keilmuan dan semangat perbezaan pandangan, maka tiada sebarang ketetapan rasmi telah dikeluarkan di akhir sesi muzakarah berkenaan.


Kenyataan bersama oleh :


Dato’ Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)


Dr Mohd Nur Manuty
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR)


Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Mantan Mufti Perlis


22 Januari 2010

Jumaat, 8 Januari 2010

KENYATAAN MEDIA

Dialog Antara Agama
Konflik dan ketegangan yang melanda negara masa kini mengenai isu penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat bukan Islam, menampakkan dengan jelas bahawa perhubungan dan persefahaman rakyat Malaysia yang majmuk – pelbagai agama dan etnik – masih berada ditahap meresahkan dan membimbangkan serta perlu kepada usaha penyelesaian yang segera.

Justeru, antara perjuangan utama KEADILAN adalah untuk menjamin kedamaian hidup beragama berasaskan nilai-nilai keadilan sejagat dan juga perlembagaan negara.
Bagi mencapai tujuan di atas, KEADILAN sentiasa menganjurkan supaya disuburkan budaya interaktif untuk mewujudkan iklim yang kondusif ke arah kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Maka, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) KEADILAN telahpun memutuskan untuk menganjurkan Dialog Antara Agama (DIA KEADILAN) yang akan diadakah dalam masa yang terdekat. Program ini akan disertai oleh wakil-wakil daripada pelbagai pertubuhan agama yang ada di Malaysia.


Kami berharap program ini akan dapat mencapai objektif-objektif yang berikut:
  1. Menyuburkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepenting budaya dialog antara masyarakat Malaysia yang majmuk ke arah Malaysia yang aman dan makmur.
  2. Menyediakan medan sesuai yang bersifat interaktif untuk para peserta saling mengenali sebagai asas komunikasi positif dan bermanfaat untuk masyarakat pelbagai agama.
  3. Mengumpul pandangan secara objektif berkaitan keresahan dan kebimbangan sebenar masyarakat pelbagai agama untuk diusahakan jalan penyelesaian terbaik oleh semua pihak.
Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk turut serta di dalam dialog ini bolehlah berhubung dengan En Sharipuddin Muis melalui email (sharipuddin@gmail.com) atau talipon (012-267-1199).
Kejadian Membakar Gereja
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Parti KeADILan Rakyat, merakamkan kekesalan yang tidak terhingga di atas perkembangan terkini di mana beberapa buah gereja telah dicerobohi.

Sesungguhnya, perbuatan melakukan kerosakan kepada tempat ibadah mana-mana penganut agama adalah sangat bertentangan dengan prinsip agama Islam malah mana-mana agama sekalipun. Di dalam Al Quran dinyatakan
  • “Orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar, melainkan hanya kerana mereka berkata, "Tuhan kami adalah Allah." Jika Allah tidak membangkitkan sebahagian manusia menolak (kezaliman) sebahagian yang lain, nescaya telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja,rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang didalamnya banyak di sebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti akan menolong orang yang menolong agamaNya, Sesungguhnya Allah Mahakuat lagi Mahaperkasa.” (Al-Hajj: 40)
Kami menyeru kepada semua pihak agar bertenang dan berfikiran secara rasional dalam menangani isu yang sedang melanda negara pada ketika ini. Tindakan yang bersifat provokasi hanya akan memburukkan keadaan.

Kami berpandangan bahawa insiden ini boleh menimbulkan ketegangan antara agama dan mengancam keselamatan negara. Oleh yang demikian kami menuntut kepada pihak berkuasa supaya bertindak dengan tegas dan segera bagi memastikan mana-mana individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan jenayah berkenaan diadili dengan sewajarnya.

DR MUHD NUR MANUTY
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat
08 Januari 2010

Rabu, 6 Januari 2010

Kenyataan Media

PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH"

Merujuk kepada kenyataan kami pada 22 November 2009 mengenai perkara di atas, maka Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BIPPA) Parti KeADILan Rakyat sekali lagi ingin menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai agenda politik untuk menampakkan bahawa merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Sesungguhnya, kami melihat fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia memperakui penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmannya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Az-Zumar 39:38)

Adalah jelas bahawa penggunaan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Ini adalah serasi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman dan damai. Sesungguhnya, ini juga bersesuaian dengan muafakat Pakatan Rakyat yang diputuskan baru-baru ini.

Selanjutnya, kami berpandangan perjuangan untuk menegak makruf dan mencegah mungkar akan menjadi lebih mudah dan selesa berasaskan firman Allah:

"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Ali `Imran 3:64)

Sehubungan itu, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana (hikmah) sebagaimana saranan Allah mengenainya:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk” (An Nahl 16:125)

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka), Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri” (Al Ankabut 29:46)



Media Statement

USE OF WORD “ALLAH”

We refer to our previous statement dated 22 November 2009 pertaining to the above matter. Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA), Parti KeADILan Rakyat once again would like to affirm our view on the issue.

It is our view that the wish of the non-Muslims to call their God as “Allah” is a positive turn of events and should respectably be recognized. There is no necessity for any faction in the society to take advantage of the current circumstances and turn the dispute into a narrow political propaganda to show off as if they are really the champion and guardian of Islam in this country.

Certainly, we view this phenomenon as a manifestation of the inherent human nature to reckon that this universe is undoubtedly the creation of Allah.

If indeed thou ask them who it is that created the heavens and the earth, they would be sure to say: "Allah." … (Az Zumar 39:38)

It is without doubt that to worship and glorify Allah as the God is a fundamental right of every person. This is parallel to the provision of the Federal Constitution, Article 3(1) which guarantees the status of Islam as the Official Religion of the Federation while at the same time concedes that other religions may be practiced in peace and harmony. Unmistakably, it is also consistent with the recently affirmed Declaration of Understanding of the Pakatan Rakyat.

Additionally, we are of the opinion that the strive to advocate virtues and prevent misdeeds (amar makruf nahi mungkar) will be eased. Allah says:

Say: "O people of the Book! come to common terms as between us and you: that we worship none but Allah; that we associate no partners with Him; that we erect not from among ourselves Lords and patrons other than Allah." If then they turn back, say: ye! "Bear witness that we (at least) are Muslims (bowing to Allah's will)." (Ali Imran 3:64)

Therefore, to maintain harmony and peace it is crucial for all parties to resolve the conflict by encouraging the culture of interfaith discourse with the highest level of maturity and wisdom. Allah commands:

Invite (all) to the way of thy Lord with wisdom and beautiful preaching; and argue with them in ways that are best and most gracious: for thy Lord knoweth, best who have strayed from His Path, and who receive guidance. (An Nahl 16:125)

And dispute ye not with the People of the Book, except with means better (than mere disputation) unless it be with those of them who inflict wrong (and injury): but say "We believe in the Revelation which has come down to us and in that which came down to you; Our God and your God is one; and it is to Him we bow (in Islam)." (Al Ankaboot 29:46)



PROF DR MUHD NUR MANUTY

Biro Pemahaman & Pemantapan Agama

Parti KeADILan Rakyat

06 Januari 2010

Ahad, 22 November 2009

KENYATAAN MEDIA..

PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH"

Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan “over react” dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Maka itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:
"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah.

"Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).

Sekian. Terima kasih.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
22 November 2009