Jumaat, 23 November 2012

Jawatan PM: PR Sudah Sepakat


Jawatan PM: Tidak perlu bincang, PR sudah sepakat
WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
 Dr Muhammad Nur Manuty
Dr Muhammad Nur Manuty
SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) sepakat memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekiranya PR membentuk Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), nanti.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, Majlis Syura Pas juga bersetuju Anwar menjadi Perdana Menteri seperti mana yang diumumkan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
“Ini hak masing-masing. Keputusan rasmi telah dibuat oleh Majlis Pakatan Rakyat dan diperkukuhkan dengan kenyataan Husam selepas Muktamar Pas Kali Ke-58 yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, isu Perdana Menteri dalam kalangan PR sama ada Anwar atau Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya polemik sahaja.

“Ia tidak perlu dibincangkan. Pendirian DAP seperti mana yang diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, calon Perdana Menteri jika membentuk Kerajaan Pusat adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Anthony berkata, PR fokus kepada PRU13 dan polemik tersebut perlu ditamatkan.

Sabtu, 17 November 2012

Tak perlu panjangkan isu Izzah, PKR ingatkan Mubarak - Politik - Sinar Harian

Tak perlu panjangkan isu Izzah, PKR ingatkan Mubarak - Politik - Sinar Harian


Tak perlu panjangkan isu Izzah, PKR ingatkan Mubarak
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 November 2012
 Dr Muhammad Nur Manuty
Dr Muhammad Nur Manuty
SHAH ALAM – Gesaan Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Abdul Rahman Sulaiman supaya ahli PKR beragama Islam mengkaji semula status keahlian mereka dalam parti itu satu lagi permainan politik Umno, kata Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty.

“Tak perlu layan, semua orang tahu ini permainan politik saja, dah jelas apa dia (Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar) punya kenyataan, saja nak main politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Beliau juga memberi amaran kepada Mubarak supaya tidak memanjangkan isu kenyataan kontroversi Nurul Izzah berhubung kebebasan beragama.

Katanya, hal tersebut telah diperjelaskan Nurul Izzah, namun ada pihak tertentu sengaja menenggelamkan hal sebenar bagi mengelak daripada diketahui rakyat.

“Jangan nak panjang-panjangkan hal ini, bagi saya gesaan Mubarak itu bukan menjadi masalah kepada kita," tegasnya.

Muhammad menambah, hal tersebut diperakui sendiri oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Kota Bharu kelmarin.

Jelasnya, gesaan Mubarak tidak menjejaskan keyakinan ahli terhadap parti berbilang bangsa itu.

"Kita yakin bahawa rakyat hanya menunggu masa untuk menolak BN, Insya-ALLAH akan menolak Umno-BN," ulasnya.

Mubarak menggesa ahli PKR yang beragama Islam mengkaji semula keahlian mereka setelah Nurul Izzah enggan menarik balik kenyataan kontroversinya berhubung kebebasan wang.

Keadilan Bantah Keganasan Israel


KEADILAN SERU UMAT ISLAM SEDUNIA BANTAH KEGANASAN ISRAEL DI GAZA



KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya serangan Zionis Israel yang mengakibatkan Ketua Tentera Hamas, Komando Briged Al-Qassam Ahmad Jabari dan anaknya terbunuh di Gaza.

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, perbuatan kejam itu seolah-olah direstui negara sekutunya, Amerika Syarikat yang baru sahaja melalui proses pemilihan presiden yang dimenangi Barack Obama.

“Ini membuktikan tiada jaminan daripada Obama sendiri untuk menghalang Israel membunuh rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi.

“Ini bukan serangan secara rambang, mereka memang menyasarkan Ahmad Jabari, malangnya tiada satu pun kuasa dunia mampu halang regim Israel mengganas,” kesalnya.

Manuty berkata, tindakan tidak berprikemanusiaan Israel itu bukan sahaja membunuh rakyat biasa, bahkan meranapkan penempatan mereka.
“Serangan itu akan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa, habis tempat tinggal mereka musnah.

“Israel pula sibuk menambah jajahan haramnya di bumi Palestin. Itu mungkin caranya untuk kuasai Palestin,” ujar Pengerusi KEADILAN Perak itu.
Beliau menyeru supaya umat Islam seluruh dunia mencari jalan penyelesaian demi rakyat Palestin.

“Kita tidak boleh berdiam diri. Ini isu melibatkan hak kemanusiaan dan agama. KEADILAN tetap menyokong perjuangan Palestin menentang habis-habisan Israel,” tegasnya.

Ahmad Al Jabari terbunuh apabila kereta yang mereka naiki dibedil melalui serangan udara. Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilapor berkata, mereka kini sedang melancarkan operasi serangan terhadap Hamas, pejuang Jihad Islam dan kumpulan militan yang lain.

Kebelakangan ini, pegawai-pegawai Israel tekad untuk membunuh dan menyerang pemimpin-pemimpin kanan Hamas.

Pasukan Keselamatan Israel, Shit Bet mengesahkan yang mereka bertanggungjawab ke atas segala aktiviti keganasan.

Selasa, 13 November 2012

Kenyataan Merngenai Isu YB Nurul Izzah


BIRO PENERANGAN
PARTI KEADILAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA

ISU KENYATAAN YB NURUL IZZAH
MENGENAI ‘TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA’.


Petaling Jaya, Selangor, 13 November 2012.

“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.”
(Al-Quran, Al-hujurat: 6).

Ayat di atas mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang orang fasik. Seorang Muslim Al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id diutuskan oleh Nabi Muhammad saw melakukan suatu tugasan ke Kampung Bani Mustaliq.  Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu segera pulang ke Madinah melaporkan kepada Baginda Nabi apa yang ditanggapinya. Hasilnya, baginda mengarahkan Khalid al Walid bersama anggota tenteranya bertindak terhadap kampung tersebut. Namun, selepas melakukan risikan, Khalid Al Walid mendapati bahawa mereka tidaklah murtad sebagaimana didakwa. Ini dilaporkan kepada Rasulullah. Diketika inilah ayat ini diturunkan sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.

Media-media utama tertentu milik pemerintah UMNO dan Barisan Nasional telahpun kerap didapati bersalah oleh mahkamah kerana melaporkan berita yang tidak tepat, berunsur  fitnah dan sengaja diputar belitkan.  Pemimpin-pemimpin organisasi berita ini sendiri mengesahkan bahawa harus diputarbelit sesuatu berita demi mendokong aspirasi parti yang menjadi pemiliknya.

KEADILAN melihat bahawa  serangan menggila terhadap Naib Presiden Parti YB Nurul Izzah,  yang sedang berlaku sekarang ini adalah langkah terbaru UMNO dalam percubaan mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat yang semakin terhakis. Hampir kesemua pemimpin tertinggi mereka memberikan ulasan semborono ‘bagaikan menunda najis yang hanyut’.  Media milik mereka dengan sengaja membentuk persepsi yang tidak betul mengenai apa yang dinyatakan oleh YB Nurul Izzah.  Kemudiannya, dengan sengaja pula komen-komen berdasarkan persepsi yang salah ini disebar dan dijajakan.

Amatlah jelas, UMNO sedang begitu tertekan dan desperado.  UMNO gagal menghakis  tanggapan buruk rakyat terhadap dirinya dalam pelbagai jenayah dan pengkhianatan terhadap rakyat dan Negara – penyelewengan SPR, NFC, Lynas, BERSIH, Kugan, Teo Beng Hock dan sebagainya.  Isu terbaru yang paling menekan adalah skandal RM40 juta yang melibatkan beberapa menteri kanan UMNO. Ia begitu hangat diperkatakan ketika ini. Disaat kritikal inilah, kenyataan YB Nurul Izzah yang diputarbelitkan itu dijadikan isu besar untuk mengalih perhatian rakyat.

Sesungguhnya, kenyataan spontan dan bersahaja YB Nurul Izzah pada majlis berkaitan adalah secara umum dan memang boleh mengundang pelbagai persepsi dan tafsiran.  Namun, kekeliruan yang timbul telahpun diperjelaskan sendiri oleh beliau kemudiannya dengan tegas dan jelas.  Peliknya, penjelasan lanjut itu dengan sengaja ditenggelamkan demi mengelakkan rakyat mengetahui hakikat dan apa sebenarya yang diperkatakan.

KEADILAN ingin menjelaskan bahawa, YB Nurul Izzah sendiri adalah seorang yang komited kepada agamanya – Islam.  Beliau merupakan antara pemimpin harapan generasi muda Negara, merentasi semua agama dan kaum.  Latarbelakang keluarga dan penampilan yang sederhana jelas menzahirkan ketrampilan diri yang berpaksikan jiwa yang tauhidiq pada Ilahi dan agama Islam yang syumul.

Sesungguhnya, seluruh lapisan kepimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat sedang terus mara mengemudi kebangkitan rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.  Dengan kehendak Ilahi, tiada apa yang dapat menggugatnya, InsyaAllah.

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan, PKR
13 November 2012 

Selasa, 11 September 2012

Kenyataan Media: Konsep al-Muwatinun


Cendikiawan Islam sifatkan
konsep kafir harbi, kafir zimmi tak lagi praktikal


Sesungguhnya, di bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan Ilahi ini, kita dikejutkan dengan pandangan seorang Tok Guru yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia haram menyokong DAP kerana DAP menentang hudud and tidak mahu mendaulatkan Islam.

Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah, seorang guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan, berhujah bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR justeru kedua-dua parti tersebut bersekongkol dengan DAP.

KEADILAN berpendirian bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat.
Ini bagi memastikan supaya konsep ini difahami mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global.

Sebenarnya, begitu ramai figur ulama dan cendekiawam Islam yang telah memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara syari’ah dan fiqh serta menganalisis fiqh berasaskan realiti semasa (fiqh al-waqi’).

Sheikh Rashid Ghanoushi (Ketua Parti al-Nahdah, Tunisia), yang kini menjadi penasihat kepada Kerajaan baru Tunisia, dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir zimmi serta kewujudan Negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di masa yang silam.

Namun, pada hari ini, ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi. Justeru, beliau menganjurkan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.

Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi. Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Muwatinun La Zimmiyyun” (Kewarganegaraan Bukan Zimmi).

Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini.

Shaikh Taha Jabir al-‘Ilwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.

Umumnya, mereka bersetuju bahawa konsep-konsep berkaitan – kafir zimmi, kafir harbi dan kafir musta’min – memang dicipta oleh para ‘ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah. Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang.

Lebih menarik lagi, disarankan agar semua pihak mengkaji perkembangan terkini yang sedang berlaku di bawah kerajaan baru Mesir yang dipimpin oleh Dr Muhammad Mursi (seorang tokoh Ikhwan al-Muslimun). Beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk merealisasikan konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata (al-muwatinun al-misriyyun al-musawuun). Di bawah kerangka ini,  konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan rakyat telah tidak menjadi relevan lagi.  Hasilnya,  semua warganegara Mesir (Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain), berhak mendapat perlindungan yang sama rata di bawah Perlembagaan Mesir.

Adalah jelas, cara UMNO menggarap persoalan ini dengan menggunakan pandangan Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah di atas adalah ketinggalan zaman dan tidak menepati perkembangan politik dunia Islam semasa. Kita berpandangan bahawa melalui laporan Utusan Malaysia tersebut, UMNO kini telah memulakan kempen pelampau agama demi mengekalkan kedudukan mereka.  Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan Negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar.

Adalah amat mengaibkan, selepas diamanahkan mengurus Negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, UMNO terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini, dengan menjadikan orang Melayu berada dalam keliru dan bingung. Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat bukan Islam menjadi tersepit dan cemas. Akibatnya, perhubungan diantara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang. Apakah agenda tersembunyi UMNO dengan sengaja menimbulkan polemik ini?

KEADILAN berpandangan bahawa dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah UMNO telah begitu terdesak dan bengkrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan. Jelas dan nyata, UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus Negara selepas PRU ke 13 nanti,  kerana telah kehilangan arah,  hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan. Wallahu’alam. .


Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan KEADILAN
11 Ogos 2012  

Selasa, 4 September 2012

Kenyataan Media: Membenteras Politik Ganas


MEMBANTERAS BUDAYA POLITIK GANAS
DAN SAMSENG



Petaling Jaya, Selangor, 4 September 2012.  Sesungguhnya, KEADILAN merasa kesal atas provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan yang mendakwa pendesak Melayu PERKASA di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar pada 2 September 2012 yang lalu. Tindakan agresif dan ganas mereka - mengungut, menjerit, memadamkan lampu, membaling kasut dan cuba melempar batu – semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sedang menyampaikan tazkirah ringkas adalah di luar batas susila bangsa Melayu dan Islam. Apatah lagi ia dilakukan dengan keizinan pihak Imam dan pengurusan masjid berkenaan. 

Kumpulan provokator tersebut hanyalah kelompok minority dan serpihan kecil. Ini terbukti apabila puluhan ribu rakyat Kedah hadir mendengar ceramah DSAI di perkarangan Stadium Darul Aman selepas peristiwa tersebut.
Adalah jelas, provokasi yang dilakukan merupakan rentetan dari siri politik ganas dan samseng yang dilakukan oleh UMNO dan para pendokongnya, sebagai manifestasi dari tekanan dan kekecewaan yang dialami apabila menyedari bahawa ia telah gagal menyekat sokongan berterusan rakyat kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU 13 akan datang.

Kita sedia maklum, bahawa UMNO/BN pernah secara angkuh memandang remeh dan hina akan kebangkitan rakyat selama ini khususnya sejak 1998 lagi.  Malah UMNO/BN begitu yakin dan selesa bahawa reformasi rakyat ini, telah pun padam selepas Berjaya memfitnah dan memenjarakan pemimpin reformasi ini DSAI.
Keputusan PRU 12 yang lalu, memang benar-benar mengejutkan UMNO. Lantaran begitut ertekan dan terdesak, mereka hilang kerasionalan dan kematangan politik, sehinggakan pemimpin tertingginya pernah melafazkan ikrar akan mempertahankan Putrajaya ‘at all cost’.   Demi mencapai matlamat ini, PERKASA hanyalah salah satu instrumen yang digunakan.

Sesungguhnya, KEADILAN ingin menegaskan bahawa apa yang dilakukanoleh PERKASA dan para pendokong UMNO ini, adalah amat merbahaya kepada kesejahteraan dan kebebasan rakyat.  Jika tidak ditampan, gejala ini pasti akan mengancam keselamatan Negara seluruhnya.  Amalan ini amat bertentangan dengan nilai dan akhlak bangsa Melayu dan Islam. Malah, ia merupakan serpihan dari budaya jahiliyah dan liar yang dilakukan oleh para penentang keadilan, kebenaran dan kebebasan sejak zaman berzaman.  Nabi Muhammad SAW  pun pernah dibaling batu dan kayu semasa menjalankan tugas dakwah dan tarbiyahnya kepada penduduk Makkah pada zaman baginda.

Hakikatnya, perbezaan pandangan dan pendirian politik adalah suatu yang fitrah. Malah perbezaan pandangan itu merupakan suatu rahmat. Inilah kenyataan yang ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, kita menyeru agar semua aktivis politik tanah air terutama para pendokong UMNO dan BN agar bersama meneruskan perjuangan kita membela rakyat ini secara  sihat, matang dan bertamadun.

KEADILAN berpandangan bahawa langkah terbaik dalam meleraikan kecelaruan politik semasa adalah melalui debat dan perbahasan umum yang teratur dan terancang. Justeru, cadangan diadakan perdebatan di antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib sendiri – hendaklah diteruskan. Dengan cara ini, rakyat dapat dididik dengan budaya politik beraras tinggi, intelektual dan bertamadun.  Namun demikian, kita merasa amat kecewa DS Najib sendiri secara bersungguh-sungguh ingin mengelakkan ia berlaku atas alasan yang begitu dangkal dan remeh.

KEADILAN juga menyeru agar  pihak berkuasa keselamatan Negara turut memberikan sokongan dalam menjayakan hasrat murni mengukuhkan amalam budaya politik aras tinggi.  Maka itu, kita menuntut agar pihak keselamatan segera bertindak secara tegas dan drastic demi membanteras budaya politik ganas dans amseng yang sedang berleluasa.

Sesungguh,  kesopanan dan kesusilaan adalah salah satu prinsip utama Rukun Negara.  Justeru, KEADILAN ingin mengulangi dengan tegas bahawa kami akan tetap mempertahankan budaya politik sihat, aman, berbudaya tinggi dan bertamaddun dalam meneruskan misi perjuangan kami mencapai agenda memartabatkan kedaulatan rakyat.    Kami juga menyeru, agar seluruh penyokong KEADILAN dan Pakatan Rakyat bersama-sama mempertahankan dasar dan amalanyang murni.

Bersamalah kita mendoakan hasrat mulia menegakkan keadilan, kebebasan dan keamanan untuk seluruh tercapai dengan izin Allah, menuruti apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW yang bersabda:  “Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin”.


Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

Khamis, 4 November 2010

KENYATAAN MEDIA

Menyanggah Tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

1. Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR, ingin menyatakan bahawa serangan-serangan peribadi pelbagai bentuk dan pendekatan terhadap DSAI bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Hal ini berlaku kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang berupaya membawa perubahan ke atas sistem pemerintahan negara. Mereka yang mahu mempertahankan status quo akan menggunakan pelbagai kaedah tidak bermoral semata-mata mahu menjejaskan kredibiliti beliau.

2. Adalah jelas bahawa DSAI mempunyai kewibawaan dan keupayaan membina muafakat politik nasional dengan pewujudan gagasan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang dilihat semakin hilang relavansinya dalam realiti politik negara masa kini.

3. Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata. Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal. Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara.

4. Komitmen DSAI ketika diberi peluang memimpin negara adalah terbukti dengan rekod kecermelangan. Kepemimpinannya terserlah dan diterima dalam dan luar negara sejak awal 1970an. Beliau istiqamah (consistent) justeru kepemimpinannya untuk memimpin rakyat dan negara terutama disaat negara sedang mengalami krisis kepercayaan tetap diperlukan. Persoalannya sekarang: Kenapa beliau diminta berundur?

5. Pada hemat BIPPA yang patut berundur ialah kepimpinan negara sekarang yang telah terbukti tidak berupaya mengangkat martabat rakyat dan negara dengan kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track rekod kerendahan moral dan akhlak yang diketahui umum, terjejasnya imej negara di peringkat antarabangsa dan ketakutan pelabur-pelabur asing melabur di Malaysia.

6. Seruan Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada hakikatnya adalah manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat.


7. Akhirnya, sebagai seorang ilmuan Muslim sewajarnya beliau patut lebih berhati-hati dalam memberi pandangan supaya tidak menjejaskan kredibiliti dan kewibawaannya sehingga menyebabkan audien hilang hormat.


Dr Muhammad Nur Manuty

Pengerusi

Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR

4 hb Oktober, 2010